Bunga Citra Lestari
Bunga Citra Lestari
Najiy Jefri


Jakarta : Penyanyi Indonesia, Bunga Citra Lestari atau BCL dikatakan sudah mendapat 'lampu hijau' daripada keluarga mentuanya selepas dikatakan bakal melangsungkan pernikahan dengan jejaka pilihannya, Tiko Aryawardhana di Bali, Indonesia pada 2 Disember ini.

Menurut portal berita Indonesia, keluarga Allahyarham suaminya, Ashraf Sinclair terutama ibunya, Dida dikatakan sudah memberi restu jika Bunga ingin berumah tangga semula.

Dida dan keluarga juga dilaporkan berkenalan dengan Tiko sewaktu sama-sama menyambut Aidilfitri tahun lalu.

Malah, Adik Ashraf yang juga penyampai radio, Aishah juga sudah lama mengetahui hubungan pasangan itu, malah dia pernah dilihat bergambar dengan kakak iparnya disertai Tiko.

Terdahulu, ada yang mempertikaikan hubungan Bunga dengan bakal suami yang juga kakitangan sebuah syarikat kewangan terkemuka itu dan menyifatkan pernikahan pada 2 Disember itu sebagai tergesa-gesa.

Tidak kurang juga yang meluahkan perasaan kecewa kerana beranggapan BCL sudah melupakan suaminya.

Terdahulu, BCL melalui kehidupan sebagai ibu tunggal selepas kematian Ashraf akibat serangan jantung pada 18 Februari 2020.

Hasil perkahwinan dengan Ashraf, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Noah Aidan Sinclair.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2023 @ 1:25 PM