Vokalis kumpulan Ungu, Pasha. Foto Aziah Azmee
Vokalis kumpulan Ungu, Pasha. Foto Aziah Azmee
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur : Vokalis kumpulan Ungu, Pasha mengucapkan tahniah kepada penyanyi dan pelakon popular Indonesia, Bunga Citra Lestari atau BCL, 40, dan suaminya, Tiko Aryawardhana, 43, yang selamat bernikah di Bali, semalam.

Pasha atau nama sebenarnya, Sigit Purnomo Said, 44, ditemui berkata, dia menitipkan ucapan tahniah saja kepada pasangan berkenaan di atas perkahwinan mereka.

"Congratulation (tahniah), congratulation (tahniah), itu saja," katanya ringkas yang ditanya oleh media ketika ditemui selepas sidang media konsert Mayapada Ungu Live In Kuala Lumpur - 30 Hits Timeless di ibu kota, baru-baru ini.

Konsert Mayapada Ungu Live In Kuala Lumpur - 30 Hits Timeless bakal berlangsung pada 25 Februari 2024 di Megastar Arena KL yang dibawakan penganjur, Icon Entertainment dengan kerjasama penaja utama, AKE Group.

Selain Pasha, hadir sama pada sidang media itu ialah empat lagi anggota Ungu iaitu Enda selaku pemain gitar, Makki (Bass), Oncy (gitar) dan Rowman (dram) yang mengakui menganggap Malaysia sebagai 'rumah kedua'.

Terdahulu, BCL yang popular dengan lagu Cinta Sejati bertemu jodoh kali kedua dengan suami, Tiko juga seorang ahli perniagaan selepas tiga tahun bergelar ibu tunggal seorang anak lelaki, Noah Aidan Sinclair, 12.

BCL sebelum ini pernah bernikah dengan pengacara dan pelakon dari Malaysia, Allahyarham Ashraf Sinclair, 44, pada 2008, namun jodoh tidak panjang apabila Ashraf meninggal dunia ketika tidur akibat serangan jantung pada 18 Februari 2020 lalu.

Sementara itu, BCL dan suami, Tiko selamat disatukan sebagai suami isteri selepas dinikahkan sendiri oleh bapanya, Muchlis dalam majlis yang diadakan secara tertutup dan meriah dengan dihadiri keluarga rapat serta kenalan.

Istimewanya, majlis pernikahan itu juga dihadiri keluarga arwah Ashraf iaitu bapanya, Mohamed Anthony John Sinclair dan ibu, Khadijah Abdul Rahman serta adik-beradik, Aishah Sinclair, Adam Sinclair dan isterinya, penyanyi Yuna.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Disember 2023 @ 3:53 PM