Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Penyanyi tersohor Indonesia, Bunga Citra Lestari atau BCL, 40, selamat melangsungkan pernikahan dengan ahli perniagaan Tiko Aryawardhana, 43, di sebuah resort mewah di Bali, Indonesia, sekitar jam 4 petang, hari ini.

Berita itu dikongsikan akaun Instagram kelab peminat BCL dan Tiko iaitu @bcltiko yang memuat naik liputan perjalanan majlis berkenaan.

"Alhamdulillah, sah @tikotiki & @itsmebcl," ringkas kapsyen hantaran itu menerusi Instagram Story.

Pasangan terbabit dilihat begitu berseri dalam persalinan busana tradisional berona putih.

Jemputan yang hadir juga turut mengenakan pakaian mengikut tema majlis terbabit.

Semalam, akaun terbabit juga berkongsi keluarga terdekat kedua pengantin sudah berada di Bali untuk majlis itu.

Sejak berita pernikahan BCL dan Tiko tersebar, belum ada sebarang kenyataan rasmi untuk mengesahkannya.

Bagaimanapun, sebuah portal berita Indonesia turut melaporkan keluarga Allahyarham Ashraf terutama ibunya, Dida Sinclair sudah memberi restu jika BCL ingin berumah tangga semula.

BCL yang juga ibu kepada anak tunggal, Noah Aidan Sinclair, 12, dikatakan hanya mengundang tidak sampai 100 tetamu untuk menghadiri majlis pernikahannya.

Menurut laporan media di sana, pakej pernikahan di resort mewah itu dianggar bernilai RM100,000 hingga RM600,000.

BCL pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon kelahiran Malaysia, Allahyarham Ashraf Sinclair yang menghembuskan nafas terakhir pada 18 Februari 2020 akibat serangan jantung.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Disember 2023 @ 5:24 PM