BUNGA Citra Lestari. FOTO arkib NSTP
BUNGA Citra Lestari. FOTO arkib NSTP
Agensi

Jakarta: Selepas hampir tiga tahun bergelar ibu tunggal, penyanyi popular Indonesia, Bunga Citra Lestari dikhabarkan bakal mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Tiko Aryawardhana pada 2 Disember ini.

Difahamkan, majlis pernikahan pasangan itu bakal berlangsung di sebuah hotel di Bali, Indonesia.

Lebih menguatkan spekulasi itu, berita pernikahan mereka turut disahkan seorang kakitangan Kantor Urusan Agama (KUA) Pasar Minggu, Jakarta Selatan dikenali sebagai Emma Fatmayani yang mendedahkan lokasi dikatakan majlis pernikahan Bunga atau lebih dikenali BCL di KUA Mengwi, Bali.

"Kedua-dua pihak sudah menghantar borang dan salinan dokumen yang diperlukan termasuk sijil kematian suami BCL iaitu Allahyarham Ashraf Sinclair.

"Pihak Tiko juga sudah menyerahkan salinan dokumen pengesahan perceraiannya sebelum ini. Berdasarkan dokumen yang dihantar, Tiko adalah seorang duda yang bercerai hidup sebelum ini," katanya.

Sebelum ini, gosip percintaan BCL dan Tiko mula dihidu selepas penyanyi itu memuat naik video sambutan ulang tahun ke-40 pada Mac lalu .

Kelibat dan aksi mesra Tiko dalam video terbabit membuatkan ramai yang membuat spekulasi bahawa wujud hubungan istimewa antara mereka.

Selain itu, Tiko juga dilihat kerap hadir ke majlis keluarga BCL termasuk sambutan Aidilfitri tahun ini.

Terdahulu, BCL melalui kehidupan sebagai ibu tunggal selepas kematian suami yang juga pelakon dari Malaysia, Ashraf Sinclair akibat serangan jantung pada 18 Februari 2020.

Hasil perkahwinan dengan Ashraf, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Noah Aidan Sinclair.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 November 2023 @ 1:12 PM