OPERASI bersepadu KPDN dan PGA menahan seorang lelaki dipercayai penyeludup yang melakukan pengisian petrol berulang di stesen minyak dekat sempadan Kelantan. FOTO KPDN.
OPERASI bersepadu KPDN dan PGA menahan seorang lelaki dipercayai penyeludup yang melakukan pengisian petrol berulang di stesen minyak dekat sempadan Kelantan. FOTO KPDN.
Nor Fazlina Abdul Rahim


Rantau Panjang: Taktik licik individu dipercayai penyeludup yang melakukan pengisian petrol secara berulang mengundang padah apabila ditahan di stesen minyak di sini, semalam.

Lelaki berusia 30-an yang menggunakan kereta Proton Waja dengan nombor pendaftaran tempatan itu ditahan pasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang melakukan operasi bersepadu pada 12.28 tengah hari.

Pengarah KPDN Kelantan Azman Ismail berkata, pasukan daripada pejabat Pasir Mas dan Putrajaya menjalankan operasi bersepadu bersama Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA).

Katanya, tindakan diambil susulan maklumat dan mengesan pergerakan beberapa kenderaan membuat pembelian pengisian berulang di stesen minyak di sekitar Rantau Panjang.

"Susulan itu, kita menahan seorang lelaki tempatan berusia 30-an bersama Proton Waja yang menggunakan nombor pendaftaran tempatan disyaki terbabit dengan penyelewengan petrol.

"Terdahulu, dia dikesan sudah membuat pembelian petrol pada 11.11 pagi berjumlah RM100 dan melakukan pengisian kali kedua pada 12.28 tengahari (RM75) berdasarkan pemerhatian pasukan, kamera litar tertutup (CCTV) dan rekod pembelian.

"Seterusnya pihak stesen minyak juga disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961, melanggar Arahan Pengawal Bekalan KPDN kerana membenarkan suspek membuat pembelian berulang di stesen minyaknya," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, sebanyak 33 liter petrol bernilai RM68 dirampas dengan nilai keseluruhan rampasan RM5,068 termasuk kenderaan, manakala suspek disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

"KPDN Kelantan sentiasa melipat gandakan usaha membanteras ketirisan barang kawalan di sempadan negara ini bersama dengan agensi berkaitan sempadan dari masa ke semasa.

"Kita juga memberikan amaran keras kepada mana-mana individu yang terbabit dengan aktiviti tidak bermoral penyelewengan barang kawalan, supaya menghentikan segera tindakan itu kerana tindakan tegas akan diambil," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2024 @ 11:26 AM