ZAITON Sameon. FOTO arkib NSTP
ZAITON Sameon. FOTO arkib NSTP
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Penyanyi era 1980-an, Zaiton Sameon bersyukur nasibnya kini terbela selepas urusan bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pusat Zakat Selangor (PZS) selesai.

Zaiton, 67, juga gembira apabila menerima bayaran pencen bulan pertama, RM500 daripada Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT), dua hari lalu yang dipimpin Pengerusinya, Datuk DJ Dave.

"Alhamdulillah, syukur tidak terhingga kepada Allah di atas rezeki ini. Saya hanya mampu bersyukur selepas kesusahan hidup dialami disuarakan dan semoga ada tawaran menyanyi juga.

"Saya ingin terus menyanyi kerana ia sumber pendapatan utama, namun buat masa sekarang, tidak ada tawaran undangan yang diterima lagi. Apapun, saya percaya pada rezeki Allah buat saya.

"Kini, saya masih menunggu jawapan bantuan rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) menerusi Rumah Selangorku yang ditawarkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) kepada saya," katanya kepada Harian Metro.

Penyanyi lagu Menaruh Harapan itu berkata, dia bukan mahu menagih janji, tetapi mengambil kira pada permohonan bantuan rumah PPR yang pernah dibuatnya tahun lalu kerana berasa layak menjadi penerima.

"Saya pernah memohon rumah PPR di sekitar Kuala Lumpur pada tahun lalu, tapi sampai sekarang tiada jawapan dan saya masih terus menunggu. Begitu juga, jawapan pihak berkenaan yang menawarkan Rumah Selangorku pun belum memberi maklum balas terkini," katanya.

Sehingga kini, Zaiton yang menumpang kasih dengan anak angkat, Che Sikah Ismail atau Ika, 47, menyewa rumah bersama keluarga wanita itu di Bukit Indah Ampang dengan bayaran bulanan RM1,000.

Pada 17 September lalu, Zaiton meluahkan kisahnya yang memerlukan bantuan kewangan bulanan daripada pihak berkaitan untuk mengurangkan bebanan kos sara hidup dihadapi kerana kekurangan tawaran menyanyi.

Kesempitan hidup Zaiton turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menghantar wakilnya iaitu Setiausaha Politik beliau, Ahmad Farhan Fauzi untuk melawat serta menyampaikan bantuan kewangan serta bakul makanan pada 19 September lalu.

Pada 14 November tahun lalu, Zaiton menerima Kad Orang Upaya (OKU) menerusi kategori OKU Fizikal: Traumatic Brain Injuries (Trauma Kecederaan Otak) daripada JKM Wilayah Persekutuan.

Terdahulu, Zaiton pernah mengalami kemalangan jalan raya di Batang Kali, Selangor pada 1990 yang mengakibatkan anak tunggalnya, Azirwan Abu Bakar ketika itu berusia 13 tahun meninggal dunia.

Penyanyi yang merangkul juara Anugerah Juara Lagu (AJL) 1987 ini turut parah di bahagian kepala hingga menyebabkan dia hilang ingatan sementara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 November 2023 @ 2:06 PM