Zaiton.
Zaiton.
Norhayati Nordin

 

Kuala Lumpur: Penyanyi popular era 80-an, Zaiton Sameon, 67, bersyukur sekiranya cadangan pemberian pencen bulanan oleh Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) menjadi kenyataan. 

Bagaimanapun, Zaiton ketika dihubungi berkata, dia tidak mahu terlalu berharap sangat selagi ia belum menjadi kenyataan.

"Kalau ada pencennya nanti dan saya terima, Alhamdulilah. Tapi, setakat ini tak naklah berharap lagi kerana ia masih dalam pertimbangan YKAT. Belum ada keputusan rasmi pun.

"Cuma, saya ingin ucapkan berbanyak terima kasih kepada semua pihak yang tampil membantu saya, baru-baru ini. Terima kasih juga kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas sumbangan dihulurkan oleh beliau..

"Terima kasih kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pusat Zakat Selangor (PZS) yang akan memberi bantuan bulanan kepada saya, insyaAllah. Saya doakan segala kebaikan itu akan dibalas oleh Allah," katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, Pengerusi YKAT, Datuk DJ Dave memaklumkan pihaknya menimbangkan pemberian pencen bulanan kepada Zaiton yang juga penerima kad orang kurang upaya (OKU) sejak November, tahun lalu.

Zaiton berkata, dia juga kini mula mendapat tawaran menyanyi daripada badan kerajaan dan hari ini muncul menjayakan persembahan nyanyian di Melaka serta pada 1 Oktober depan di Perak atas undangan JKM.

"Alhamdulillah, memang saya inginkan tawaran menyanyi seperti ini kerana hendakkan kerja kerana daripada undangan menyanyi yang diterima itu adalah sumber pendapatan saya," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Zaiton amat memerlukan bantuan kewangan bulanan daripada JKM untuk mengurangkan bebanan kos sara hidupnya.

Bagaimanapun, dia berhadapan masalah apabila tidak tahu bagaimana prosedurnya untuk mengisi borang permohonan bantuan dan berharap pihak JKM dapat membantu.

Zaiton yang kini sebatang kara, menumpang kasih dengan anak angkat, Che Sikah Ismail atau Ika, 47, bersama keluarganya hampir 13 tahun lalu dalam menghadapi susah senang bersama.

Penyanyi lagu Menaruh Harapan ini pernah mengalami kemalangan jalan raya di Batang Kali, Selangor pada 1990 yang mengakibatkan anak tunggalnya, Azirwan Abu Bakar yang berusia 13 tahun ketika itu meninggal dunia.

Penyanyi yang merangkul juara Anugerah Juara Lagu (AJL) 1987 ini turut parah di bahagian kepala hingga menyebabkan dia hilang ingatan sementara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 September 2023 @ 8:03 PM