Penyanyi veteran, Zaiton Sameon ketika ditemui di kediamannya di Taman Bukit Indah, Ampang. FOTO AIZUDDIN SAAD
Penyanyi veteran, Zaiton Sameon ketika ditemui di kediamannya di Taman Bukit Indah, Ampang. FOTO AIZUDDIN SAAD
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Impian penyanyi era 1980-an, Zaiton Sameon, 67, untuk mendapatkan bantuan rumah menerusi Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sekitar Kuala Lumpur bakal menjadi kenyataan tidak lama lagi. 

Zaiton yang kini menumpang dengan anak angkatnya, Che Sikah Ismail atau Ika, 47, dengan menyewa rumah di Bukit Indah Ampang RM1,000 sebulan berkata, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia, Aiman Athirah Al Jundi mengunjunginya serta menawarkan Rumah Selangorku. 

"Mereka akan uruskan semuanya dan katanya rumah yang dekat-dekat (dalam kawasan Kuala Lumpur). Saya bersyukur dan terharu ramai yang prihatin nak membantu. 

"JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat), Lembaga Zakat pun ada bagi sumbangan. JKM juga nak bagi duit bulanan. Mereka kata dalam masa terdekat ini.

"Begitu juga Zakat tengah dalam proses nak bagi duit bulanan. Ada juga orang persendirian bagi sumbangan duit dalam jumlah yang banyak tapi minta namanya dirahsiakan," katanya kepada Harian Metro. 

Tidak ketinggalan dia berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menghantar wakilnya iaitu Setiausaha Politik beliau, Ahmad Farhan Fauzi untuk melawat serta menyampaikan bantuan pada 19 September lalu. 

Pada lawatan berkenaan, Ahmad Farhan mewakili Perdana Menteri menyumbangkan bantuan ikhlas berupa wang tunai kepada Zaiton dan bakul makanan sebagai tanda prihatin kepada kesempitan hidup penyanyi lagu Menaruh Harapan itu.

Hadir sama dengan Ahmad Farhan di kediaman Zaiton Sameon ialah Pengarah Bahagian Pembangunan Pejabat Perdana Menteri, Khairy Maamor, wakil Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Selangor dan wakil JKM Hulu Langat.

Pada Ahad lalu, Harian Metro melaporkan Zaiton amat memerlukan bantuan kewangan bulanan daripada JKM untuk mengurangkan bebanan kos sara hidupnya.

Bagaimanapun, dia berhadapan masalah apabila tidak tahu bagaimana prosedurnya untuk mengisi borang permohonan bantuan dan berharap pihak JKM dapat membantu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 September 2023 @ 8:59 PM