ZAITON Sameon. FOTO Arkib NSTP
ZAITON Sameon. FOTO Arkib NSTP
Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Penyanyi era 1980-an, Zaiton Sameon, 67, berterima kasih dan meluahkan perasaan terharu apabila masalahnya untuk mendapatkan bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bakal menjadi kenyataan.

Zaiton berkata, apa yang diluahkan itu bukan bertujuan cuba meraih simpati, namun kini dia benar-benar memerlukan bantuan bulanan JKM bagi meringan bebanan kos sara hidup dihadapi.

"Saya ucapkan terima kasih kepada Harian Metro dan dan terharu selepas luahan kisah saya disiarkan semalam, hari ini sudah mendapat maklum balas segera daripada pihak JKM Hulu Langat bagi tindakan selanjutnya.

"Pada jam 8 pagi tadi, dua orang pegawai JKM Hulu Langat datang ke kediaman saya untuk bertanya permasalahan dihadapi serta sedia membantu saya. Keprihatinan segera mereka untuk membantu buat saya terharu.

"Hanya Allah saja dapat membalas segalanya. Harapan saya, selepas urusan mengisi borang permohonan selesai, maka semoga bantuan bulanan JKM diinginkan itu diperolehi," katanya kepada Harian Metro.

Difahamkan sejak penghujung tahun 2010 lalu, Zaiton tinggal bersama dan dijaga sepenuhnya oleh anak angkat, Che Sikah Ismail atau Ika, 47, yang juga sudah kehilangan kedua ibu bapanya.

Che Sikah berkata, keadaan kesihatan Zaiton yang kini tidak menentu membuatkan sukar untuk dia meninggalkan penyanyi lagu Menaruh Harapan itu sendirian di rumah dan keluar bekerja.

"Apa yang saya boleh buat untuk cari rezeki bagi kami berdua menyara hidup adalah berniaga kecil-kecilan produk makanan seperti pasta dalam ekspo jualan disertai.

"Saya masak dan jual makanan yang biasa saja, manakala rendang dah tak jual lagi sebab ibu (panggilan Zaiton) tak larat nak memasaknya.

"Hampir 13 tahun, saya jaga ibu. Cuma, sekarang memang tawaran menyanyi untuknya (Zaiton) kadang-kadang saja dapat dan bayaran yang diterima pun tidak banyak," katanya.

Che Sikah berkata, selagi sihat insya Allah dia akan terus menjaga ibu angkatnya itu sebaik mungkin serta sering membawa Zaiton bersama ketika berniaga kerana bimbang jika ditinggalkan di rumah.

Semalam, Harian Metro melaporkan Zaiton amat memerlukan bantuan kewangan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mengurangkan bebanan kos sara hidupnya.

Bagaimanapun, dia berhadapan masalah apabila tidak tahu bagaimana prosedurnya untuk mengisi borang permohonan bantuan dan berharap pihak JKM dapat membantu.

Pada 14 November tahun lalu, Zaiton menerima Kad Orang Upaya (OKU) menerusi kategori OKU Fizikal: Traumatic Brain Injuries (Trauma Kecederaan Otak) daripada JKM Wilayah Persekutuan.

Terdahulu, Zaiton pernah mengalami kemalangan jalan raya di Batang Kali, Selangor pada 1990 yang mengakibatkan anak tunggalnya, Azirwan Abu Bakar yang ketika itu berusia 13 tahun meninggal dunia.

Penyanyi yang merangkul juara Anugerah Juara Lagu (AJL) 1987 ini turut parah di bahagian kepala hingga menyebabkan dia hilang ingatan sementara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 September 2023 @ 4:06 PM