Ally Marisha Afrina dan ibunya, pelakon Connie.
Ally Marisha Afrina dan ibunya, pelakon Connie.
Ramlah Zainal


Kuala Lumpur: Pelakon popular era 1980-an, Norlida Ahmad atau Connie, 64, masih menerima rawatan selepas menjalani pembedahan akibat masalah buah pinggang bernanah dan dijangka ditahan di hospital dalam tempoh tiga bulan lagi.

Anaknya, Ally Marisha Afrina Abdullah, 24, berkata, ibunya masih dirawat di hospital sehingga luka pembedahan sembuh sepenuhnya.

"Alhamdulillah, luka pembedahan yang dilakukan sebelum ini beransur sembuh. Selepas luka itu sembuh baru doktor akan menjahit atau menutup luka terbabit," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Sebagai anak tunggal, Ally berkata, memang dia yang menjaga ibunya sendirian di hospital.

"Ketika mula-mula ummi menjalani pembedahan, saya memang ambil cuti lama. Namun, selepas ummi sudah boleh bangun sendiri, saya menemani ummi di hospital tiga hingga empat kali seminggu.

"Sekarang ummi sudah boleh makan seperti biasa dan berjalan tapi masih dengan bantuan," katanya.

Sementara itu, kata Ally, dia juga ada memuat naik perkembangan kesihatan ibunya di TikTok, minggu lalu

"Ummi juga ada Facebook, Instagram dan TikTok tetapi buat masa ini berehat dulu dari media sosial untuk fokus pada kesihatannya.

"Mohon semua peminat untuk mendoakan kesihatan ummi supaya segera sembuh seperti biasa," katanya.

Ditanya sama ada pihak persatuan artis ada datang menziarahi, Ally berkata, setakat ini tiada lagi.

"Ummi juga sudah boleh terima pelawat tetapi setakat ini tiada persatuan artis yang datang menziarahi di hospital," katanya.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan Connie, selamat menjalani pembedahan membuang nanah di sekeliling buah pinggangnya sebanyak 400 mililiter di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Oktober 2023 @ 1:50 PM