NORLIDA. FOTO Arkib NSTP
NORLIDA. FOTO Arkib NSTP
Serimah Mohd Sallehuddin

Kuala Lumpur: Keluarga pelakon era 1980-an, Norlida Ahmad, 64, yang dirawat akibat masalah buah pinggang dan jangkitan kuman pada paru-paru, menanti keputusan ujian imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) yang dilakukan, hari ini.

Anak tunggal Norlida, iaitu Ally Marisha Afrina Abddullah, 24, berkata ibunya menjalani ujian CT Scan, tengah hari tadi dan masih menunggu keputusannya.

"Selain itu, doktor menjalankan prosedur dikenali sebagai Peripherally Inserted Central Catheter (PICC) di mana satu saluran dipasang ke urat jantung bagi memudahkan antibiotik dan ubat dimasukkan untuk penggunaan jangka masa panjang," katanya.

Berkongsi perkembangan terkini Norlida yang lebih dikenali sebagai Connie, Ally berkata, ibunya masih dalam keadaan sama.

"Ummi masih lemah tetapi stabil. Kami masih lagi menunggu keputusan doktor untuk tindakan seterusnya.

"Doakan semoga urusan Ummi seterusnya akan dipermudahkan," katanya.

Norlida yang popular pada era 1980-an menerusi filem Tujuh Biang Keladi, Bujang Lapok Kembali Daa dan Suara Kekasih, dimasukkan ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban lebih seminggu lalu kerana masalah buah pinggang bernanah dan jangkitan kuman pada paru-paru serta darah.

Norlida pernah dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya, kerana tekanan darah rendah dan jangkitan kuman di buah pinggang pada 2018 hingga lumpuh separuh badan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Ogos 2023 @ 7:52 PM