Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Anak tunggal pelakon popular era 1980-an, Norlida Ahmad atau Connie iaitu Ally Marisha Afrina Abdullah, 24, kesal dengan penyebaran berita palsu dan fitnah terhadap keadaan kesihatan ibunya yang didakwa semakin teruk.

Ally berkata, banyak berita tidak benar dilaporkan portal hiburan mengenai keadaan terkini ibunya yang diperkata ramai, lebih-lebih lagi di platform media sosial seperti Tik Tok yang membuatkan dia amat kecewa.

"Saya sekeluarga merasa kesal dan kecewa dengan statement

(kenyataan) yang sedang viral (tular) itu. Saya harap tidak ada pihak yang mengambil kesempatan menaburkan berita palsu dan fitnah terhadap ummi saya.

"Alhamdulillah operation (pembedahan) ummi saya pada Sabtu lalu, success (berjaya) apabila pasukan doktor dapat membuang nanah di buah pinggang itu sebanyak 400 mililiter (ml). 

"Sekarang, ummi saya dalam post recovery (pasca pemulihan) daripada pembedahan yang dijalani itu kerana kuman dalam darahnya masih ada dan doktor sedang 

merawatnya," katanya kepada Harian Metro menerusi kiriman WhatsApp. 

Ally berkata, keadaan ibunya sekarang masih boleh bangun dan berdiri sendiri walalupun dirawat di 

di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban, Negeri Sembilan akibat masalah buah pinggang bernanah itu.

"Ummi saya kini masih boleh bangun  dan berdiri. Jadi, saya harap berita yang berbaur fitnah dan palsu sebegini tidak lagi diuar-uarkan sewenang-wenangnya. Tolonglah hormati perasaan kami sekeluarga," katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan Connie, 64, selamat menjalani pembedahan bagi membuang nanah di sekeliling buah pinggangnya di HTJ pada Sabtu lalu.

Terdahulu, pelakon filem Tujuh Biang Keladi itu dimasukkan ke HTJ untuk rawatan lanjut pada 19 September lalu iaitu selepas 10 hari dibenarkan pulang ke rumah pada 10 September.

Pada Ogos lalu, Connie dimasukkan ke HTJ untuk rawatan selama sebulan kerana masalah buah pinggang bernanah dan jangkitan kuman pada paru-paru dan darah yang dialaminya.

Justeru, dia turut menjalani prosedur dikenali sebagai Peripherally Inserted Central Catheter (PICC) di mana saluran dipasang ke urat jantung bagi memudahkan antibiotik dan ubat dimasukkan untuk penggunaan jangka masa panjang.

Connie sebelum ini juga dilaporkan pernah mendapat rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya kerana tekanan darah rendah dan jangkitan kuman pada buah pinggang hingga lumpuh separuh badan pada 2018 lalu.

Cukup popular dan aktif dalam karier lakonannya pada era 1980-an, antara filem lain pernah dibintangi Connie ialah Bujang Lapok Kembali Daa, Suara Kekasih, Marah-Marah Sayang, Dendang Remaja dan Guru Badul.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2023 @ 6:16 PM