Ally (kiri) bersama ibunya, Norlida Ahmad atau Connie.
Ally (kiri) bersama ibunya, Norlida Ahmad atau Connie.
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: "Mohon doakan Ummi saya yang menjalani pembedahan membuang nanah pada hari ini. Semoga semuanya lancar, dipermudahkan dan Ummi cepat sembuh serta kembali sihat seperti biasa," kata Ally Marisha Afrina Abddullah, 24.

Ally yang juga anak tunggal pelakon era 1980-an, Norlida Ahmad atau Connie, 64, berkata, ibunya dalam keadaan stabil untuk menjalani pembedahan hari ini, kecuali darah merahnya berada pada tahap rendah.

"Alhamdulillah, keadaan Ummi okay hari ini, cuma tahap darah merah dalam badan rendah. Tapi, pembedahan buang nanah itu kena buat juga kerana dibimbangi ada komplikasi lain kalau lambat dibuang," katanya kepada Harian Metro.

Ditanya juga aktiviti Connie di rumah selepas lama tidak aktif berlakon lagi, Ally berkata, ibunya mengusahakan perniagaan katering dan sekiranya ada masa lapang turut mengajar tuisyen percuma kepada anak-anak jiran.

"Ummi saya memang sudah lama tidak berlakon, tapi dia ada menjalankan perniagaan katering. Selama ini pun, dia selalunya agak sibuk dengan urusan perniagaan saja.

"Malah, pada setiap hari Ahad kalau dia ada kelapangan masa, ummi biasanya akan buat tuisyen percuma untuk bantu mengajar anak-anak jiran kami bagi mata pelajaran seperti bahasa Inggeris, Sains dan Matematik," katanya.

Pada Isnin lalu, Connie sudah melakukan pemeriksaan ujian imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) dan menjalani prosedur dikenali Peripherally Inserted Central Catheter (PICC), di mana satu saluran dipasang ke urat jantung bagi memasukkan antibiotik dan ubat untuk penggunaan jangka masa panjang.

Connie yang disahkan menghidap masalah buah pinggang bernanah dan jangkitan kuman pada paru-paru dimasukkan ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban sejak lebih seminggu lalu untuk rawatan lanjut.

Terdahulu, Connie juga pernah dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), kerana tekanan darah rendah dan jangkitan kuman di buah pinggang pada 2018 lalu.

Pernah mencipta nama sebagai pelakon wanita popular, antara filem lakonan Connie ialah Tujuh Biang Keladi, Bujang Lapok Kembali Daa, Suara Kekasih, Guru Badul dan Sumpahan Mahsuri.

Connie yang mula berlakon pada 1984 dan berasal dari ibu kota, pernah memenangi trofi Pelakon Filem Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 1989 dan Pelakon Pembantu Filem Popular di ABPBH 1990.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Ogos 2023 @ 4:38 PM