Ally Marisha bersama ibunya
Ally Marisha bersama ibunya
Ramlah Zainal


Kuala Lumpur: Keadaan kesihatan pelakon popular era 1980-an, Norlida Ahmad atau Connie, 64, masih dalam 'post recovery' (pasca pemulihan) selepas menjalani pembedahan akibat masalah buah pinggang bernanah, baru-baru ini.

Menurut anak tunggalnya, Ally Marisha Afrina Abdullah, 24, ibunya juga tidak boleh banyak bergerak kerana luka selepas pembedahan belum sembuh sepenuhnya.

"Alhamdulillah, keadaan ummi okay selepas menjalani pembedahan dan lebih baik dari sebelum ini.

"Cuma ummi tak boleh banyak melakukan pergerakan kerana luka selepas pembedahan tidak dapat dijahit lagi.

"Doktor akan melakukannya selepas luka dalaman selepas pembedahan itu sembuh," katanya ketika dihubungi Harian Metro menerusi aplikasi WhatsApp.

Mengenai kesihatan ibunya lagi, kata Ally, ummi juga bergantung dengan 'painkiller' (ubat tahan sakit) untuk menahan sakit kerana lukanya besar selepas pembedahan itu.

"Ummi masih boleh bangun dan berjalan sikit-sikit kerana ia juga aktiviti yang boleh membantu mempercepatkan proses pemulihannya selepas pembedahan berkenaan," katanya.

Ditanya sampai bila ibunya dirawat di hospital pula, kata Ally, mungkin ia akan mengambil tempoh selama tiga bulan lagi di hospital sehingga lukanya sembuh.

"Menurut doktor keadaan darah ummi saya juga belum stabil dan masih ada kuman," katanya.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan Connie, 64, selamat menjalani pembedahan membuang nanah di sekeliling buah pinggangnya sebanyak 400 mililiter di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Terdahulu, pelakon filem Tujuh Biang Keladi itu dimasukkan ke HTJ untuk rawatan lanjut pada 19 September lalu iaitu selepas 10 hari dibenarkan pulang ke rumah pada 10 September.

Pada Ogos lalu, Connie dimasukkan ke HTJ untuk rawatan selama sebulan kerana masalah buah pinggang bernanah dan jangkitan kuman pada paru-paru dan darah yang dialaminya.

Justeru, dia turut menjalani prosedur dikenali sebagai Peripherally Inserted Central Catheter (PICC) di mana saluran dipasang ke urat jantung bagi memudahkan antibiotik dan ubat dimasukkan untuk penggunaan jangka masa panjang.

Connie sebelum ini juga dilaporkan pernah mendapat rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya kerana tekanan darah rendah dan jangkitan kuman pada buah pinggang hingga lumpuh separuh badan pada 2018 lalu.

Sepanjang terbabit dalam karier seni, Connie pernah berlakon dalam beberapa filem seperti Bujang Lapok Kembali Daa, Suara Kekasih, Marah-Marah Sayang, Dendang Remaja dan Guru Badul.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Oktober 2023 @ 11:58 AM