Ally (kiri) bersama ibunya, Norlida Ahmad atau Connie.
Ally (kiri) bersama ibunya, Norlida Ahmad atau Connie.
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Pelakon era 1980-an, Norlida Ahmad atau Connie, 64, yang menghidap masalah buah pinggang bernanah dan jangkitan kuman pada paru-paru dijangka akan menjalani pembedahan untuk membuang nanah pada hari ini atau esok.

Perkara itu dimaklumkan oleh anak tunggalnya, Ally Marisha Afrina Abddullah, 24, kepada Harian Metro untuk perkembangan terkini kesihatan Connie yang masih menerima rawatan lanjut di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban sejak lebih seminggu lalu.

Ally berkata, ibunya juga sudah menjalani prosedur dikenali sebagai Peripherally Inserted Central Catheter (PICC), di mana satu saluran dipasang ke urat jantung bagi memasukkan antibiotik dan ubat untuk penggunaan jangka masa panjang.

"Alhamdulillah, semalam ummi saya sudah selesai menjalani 'surgery PICC' (pembedahan PICC), bagi mempermudahkan rawatannya. Buat masa ini, kondisi ummi masih lagi lemah tapi dia stabil.

"Saya juga diberitahu oleh doktor kemungkinan hari ini atau esok ummi akan melalui satu lagi pembedahan untuk membuang nanah pula," katanya menerusi aplikasi WhatsApp.

Ally berkata, dia mohon didoakan juga semua urusan ibunya di hospital untuk rawatan dipermudahkan dan diberikan kesembuhan yang cepat oleh Allah SWT.

Semalam, Connie turut melakukan pemeriksaan ujian imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) untuk mengenal pasti keadaan penyakit dihidapi itu.

Terdahulu, Connie pernah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), di sini, kerana tekanan darah rendah dan jangkitan kuman di buah pinggang pada 2018 lalu.

Pernah mencipta nama sebagai pelakon wanita popular pada era 1980-an lalu, antara filem lakonan Connie ialah Tujuh Biang Keladi, Bujang Lapok Kembali Daa, Suara Kekasih, Guru Badul dan Sumpahan Mahsuri.

Connie yang mula berlakon pada 1984 dan berasal dari ibu kota, pernah memenangi trofi Pelakon Filem Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 1989 dan Pelakon Pembantu Filem Popular di ABPBH 1990.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Ogos 2023 @ 2:33 PM