Connie (kanan) bersama Ally sebelum dimasukkan hospital. FOTO ALLY
Connie (kanan) bersama Ally sebelum dimasukkan hospital. FOTO ALLY
Ramlah Zainal


“KAMI sekeluarga terkejut apabila ummi dimasukkan ke hospital kerana dia tidak pernah sakit teruk sebelum ini dan sangat menjaga pemakanannya sejak dulu,” kata Ally Marisha Afrina Abdullah, 18.

GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR hiasan. FOTO Bernama

Menurut anak tunggal pelakon popular era 80-an, Norlida Ahmad atau lebih dikenali sebagai Connie, 58, ibunya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur sejak semalam.

“Saya menghubungi ambulans apabila melihat ummi mula menggigil dan seperti hendak demam panas Jumaat lalu. Ummi terus dimasukkan ka wad ICU kerana keadaannya lemah dan tekanan darah rendah.

“Menurut doktor terlalu banyak asid dalam darah sehingga merebak ke hati sehingga berlaku jangkitan kuman pada buah pinggangnya,” katanya.

Bagaimanapun, kata Ally, setakat ini keadaan ibunya sudah stabil tetapi masih di bawah pemantauan rapi doktor.

"Tekanan darah ibu kembali normal tetapi doktor masih mencari punca sebenar penyakitnya. Saya belum dimaklumkan pihak hospital bila ummi akan dibenarkan keluar dari wad ICU kerana doktor masih membuat pemeriksaan terhadap penyakitnya.

Saya ditemani makcik menjaga ibu di hospital sejak beberapa hari lalu,” katanya.

Apapun, kata Ally, dia meminta semua pihak terutama sahabat handai dan rakan artis untuk sama-sama mendoakan agar ibunya kembali sihat seperti dulu.

“Ummi masih terbabit dalam bidang seni tanah air. Namun, dia sangat selektif dari segi tawaran berlakon dan hanya memilih projek bersama rakan baiknya saja.

“Ibu juga baru selesai penggambaran projek filem tahun lalu,” katanya. Mengimbas latarnya, Connie adalah antara pelakon wanita paling popular pada era 1980-an.

Antara filem popular lakonannya adalah Tujuh Biang Keladi (1984), Bujang Lapok Kembali Daa (1986), Suara Kekasih (1986), Marah-Marah Sayang (1987), Gila-Gila Si Pikoy (1987), Dendang Remaja (1988), Tuah (1988), Guru Badul (1988) dan Sumpahan Mahsuri (1989).

Sepanjang pembabitan bidang perfileman, Connie dua kali dicalonkan dalam kategori Aktres Terbaik Festival Filem Malaysia, masing-masing menerusi filem Tujuh Biang Keladi dan watak lagenda Mahsuri dalam Sumpahan Mahsuri.

Dia juga dipilih oleh peminat hiburan tempatan sebagai Pelakon Filem Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 1989.

Tidak ketinggalan, dia turut menggenggam trofi Pelakon Pembantu Filem Popular pada ABPBH 1990.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 January 2018 @ 6:15 PM