CHLTPDY pemenang bagi segmen Battle Of The Band.
CHLTPDY pemenang bagi segmen Battle Of The Band.
Zaara Talita


Sekali lagi, Art Of Speed Malaysia (AOSM) dengan kerjasama peranti elektronik, BRO Asia dan kali ini jenama motosikal berkuasa tinggi, Harley-Davidson berjaya menarik lebih dari 6,000 pengunjung ke Soundcircus Festival yang berlangsung baru-baru ini.

Festival muzik terbesar tanah air itu berlangsung dua hari berturut-turut di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) berjaya menghimpunkan penggemar muzik bergenre rock punk dan ska.

Barisan kugiran ulung membuat persembahan bertenaga seperti Superman Is Dead, No Good, Plague of Happiness, MC16, Skudap Skudip, Dum Dum Tak, Krusty, Restraint, Naratu dan Armpunk Sindicate.

Antara segmen khas yang ditampilkan ketika berlangsung Soundcircus Festival adalah acara Battle Of The Band anjuran Harley-Davidson dengan hadiah berupa pakej ke Thailand bagi mengadakan persembahan di pentas utama Asia Harley Days yang dijadualkan berlangsung hujung tahun ini.

Ketua Pengarah Eksekutif & Pengasas, Art Of Speed Malaysia (AOSM) & SoundCircus, Asep Ahmad Iskandar berkata, festival muzik ini mempunyai kelompok peminat tersendiri dan didominasi penggemar muzik bergenre punk dan ska.

"Pemenang bagi segmen Battle Of The Band oleh Harley-Davidson adalah Chltpdy, di mana mereka akan ditaja oleh Harley-Davidson untuk membuat persembahan di festival muzik luar negara.

"Festival muzik SoundCircus Festival 2023 ini juga didatangkan dengan sistem visual audio yang lebih mantap dengan kemunculan band Superman Is Dead dari Bali, Indonesia yang mempersembahkan 16 lagu semuanya.

"Sejak ditubuhkan pada 2017, SoundCircus terus mara menjadi salah satu tumpuan utama ketika acara tertutup berskala besar di dewan besar Maeps," katanya.

Ia bukan festival muzik biasa yang sekadar menampilkan artis arus perdana.

Sebaliknya, keunikan festival itu adalah mengetengahkan penghibur 'bawah tanah' yang juga memiliki pengikut tersendiri.

Platform itu menjadi medan mereka mempromosi serta tonjolkan karya.

Sementara itu, Pengasas & Ketua Pegawai Eksekutif jenama BRO Asia, Roman Lai berkata, festival ini berjaya menarik kehadiran ramai pengunjung dan sangat berpuas hati dengan kejayaan AOSM.

"Seperti sedia maklum, bukan mudah menguruskan festival berskal besar sebegini. Jadi, kami berpuas hati dengan kebolehan AOSM dalam mengendalikan festival muzik ini.

"Bukan itu saja, dalam masa sama dapat mempromosikan produk kami kepada lebih ramai pengguna," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Ogos 2023 @ 6:45 AM