Lizam Ridzuan


MOTOSIKAL segmen jelajah (touring) jenama Harley-Davidson bagi model 2020 kini sudah masuk ke pasaran tempatan melalui pengedar utama jenama itu di Malaysia, Didi Resources Sdn Bhd.

Diadakan di Harley-Davidson of Petaling Jaya, antara menjadi tumpuan utama ialah model Electra Glide Standard Baharu yang dijana enjin Milwaukee-Eight 107.

Ia julung kali model ini masuk ke pasaran tempatan.

Sebagai model permulaan Harley-Davidson untuk tujuan penjelajahan, ia didatangkan dengan rekaan fairing ‘batwing’, kemasan krom, kotak simpanan sisi dan rim tetuang.

STREET Glide 2020.
STREET Glide 2020.

Selain itu, motosikal dijana dengan enjin 1,746 cc ini juga dilengkapi kawalan pelayaran elektronik standard, fork hadapan 49 milimeter (mm) dengan suspensi injap dwi-lenturan injap, brek Relflex Linked Brembo dengan pilihan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dan penyerap hentakan belakang teknologi ‘emulsion’ larasan tangan.

Ketua Selepas Jualan Harley-Davidson of Petaling Jaya, Ahmad Fikeri Mat Yusof berkata, kali terakhir Electra Glide Standard diperkenalkan ialah pada 2009 dan ini umpama kelahiran semula model itu dengan pengenalan enjin baharu.

FIKERI (duduk) bersama ketua unit Harley-Davidson of Petaling Jaya.
FIKERI (duduk) bersama ketua unit Harley-Davidson of Petaling Jaya.

“Model ini menambah pilihan segmen jelajah Harley-Davidson di negara ini dan sesuai buat mereka yang mahukan jentera asas bergaya serta ikonik untuk perjalanan jauh,” katanya pada majlis pelancaran, baru-baru ini.

Sebagai model asas, Electra Glide Standard tidak didatangkan dengan sistem multimedia dan bunyi seperti model jelajah Harley-Davidson lain.

ROAD King Special 2020.
ROAD King Special 2020.

Ia disasarkan buat mereka yang gemar melakukan modifikasi dan boleh melakukan pengubahsuaian pada masa depan mengikut bajet dan pilihan tersendiri.

Model ini tidak mengurangkan pengalaman menunggang jentera ikonik itu dengan posisi lebih santai, menghasilkan pendikit yang responsif, kelancaran dan kuasa yang berterusan serta bunyi ekzos big-twin ikonik Harley-Davidson.

MODEL Road Glide 2020.
MODEL Road Glide 2020.

Untuk pasaran Malaysia, Harley-Davidson Electra Glide Standard dijual pada harga bermula RM132,400 (asas tanpa insurans) dengan pilihan warna dan aksesori disediakan melalui penambahan kos.

Selain itu, Harley-Davidson juga menawarkan model jelajah lain seperti Road King Special, Street Glide dan Road Glide pada harga bermula RM138,500 sehingga RM169,500.

Selain Petaling Jaya, cawangan Harley-Davidson di negara ini ada di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Kota Kinabalu.

ELECTRA Glide baharu.
ELECTRA Glide baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Februari 2020 @ 6:45 AM