SUT perlumbaan dan topi keledar penuh muka wajib untuk keselamatan.
SUT perlumbaan dan topi keledar penuh muka wajib untuk keselamatan.
Lizam Ridzuan


Jentera cruiser Harley-Davidson sering digambarkan sebagai motosikal berkuasa tinggi untuk tunggangan santai dengan gaya ranggi. Namun kini, ia juga sesuai untuk tunggangan prestasi.

Bagi menambah kepelbagaian aktiviti buat pemilik, 'Desaru International Bike Week' (DIBW) menganjurkan 'DIBW Performance VTwin Track Day' baru-baru ini.

Ia diadakan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dengan 40 penunggang terbabit dengan acara ini.

Mereka menunggang pelbagai jenis motosikal Harley-Davidson yang diberi sentuhan talaan perlumbaan untuk diuji di litar.

Acara anjuran DIBW ini dimulakan sejak 2020 dan ia juga julung kali pernah dianjurkan di luar Amerika Syarikat (AS).

Pengarahnya, Zulkiffli Rahim, 58, berkata, ia acara kali keempat diadakan.

Katanya, ia bagi membolehkan pemilik Harley-Davidson mencabar keupayaan diri dan jentera.

"Kami mensasarkan, acara perlumbaan sebenar akan diadakan pada tahun hadapan dan buat masa ini, hari litar sebegini dianjurkan bagi mencetus minat dan semangat, meningkatkan kemahiran dan menghangatkan suasana," katanya.

Menurut Zulkifli, melalui penganjuran acara itu, selain menjana hasil buat bengkel membaiki motosikal dan aksesori, ia juga merapatkan silaturahim sesama pemilik.

HARI litar pemilik Harley-Davidson di Malaysia.
HARI litar pemilik Harley-Davidson di Malaysia.

DIBW juga dinaungi oleh Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Kata Zulkifli, menerusi program sebegini, ia seiring dengan visi Tunku Ismail yang mahukan suasana permotoran berkembang melalui pembabitan semua golongan.

Katanya, penyertaan pula membabitkan pemilik motosikal dari seluruh negara malah ada permintaan daripada pemilik di Singapura namun suasana pandemik menghalang penyertaan mereka.

MENGUJI prestasi di litar.
MENGUJI prestasi di litar.

"Selalunya, pemilik ini akan mengenakan pakaian yang ranggi, namun untuk hari litar ini, semua harus mematuhi prosedur keselamatan seperti penggunaan topi keledar penuh muka dan sut perlumbaan," katanya.

Bagi peserta yang kali pertama menyertainya, Noor Hazmir Shah Hamzah, 41, yang juga pemilik model Road Glide, dia menyertainya kerana mahukan sesuatu yang berbeza selain tunggangan hujung minggu.

"Motosikal saya adalah standard dan saya hanya menaikkan sedikit suspensi belakang supaya tempat meletak kaki tidak terkena jalan ketika mengambil selekoh.

PERSIAPAN sebelum memasuki litar.
PERSIAPAN sebelum memasuki litar.

"Menunggang Harley-Davidson di litar adalah satu pengalaman baharu yang menarik untuk saya," katanya yang juga pengusaha bengkel membaiki kenderaan.

Meskipun aktiviti ini baharu berkembang, namun ada dalam kalangan peserta sudah mula mengeluarkan produk aksesori tempatan selain menempah enjin prestasi 120R Harley-Davidson yang menelan kos sekitar RM30,000 dari Amerika Syarikat.

Penganjur juga berharap lebih ramai pemilik Harley-Davidson menyertai aktiviti hari litar ini pada masa hadapan.

Maklumat lanjut berkaitan acara DIBW Performance VTwin Track Day boleh diperoleh dengan melayari Instagram: clubstyle_johore/performancebaggers_johore.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Oktober 2021 @ 6:40 AM