MENYANTUNI kanak-kanak dari pelbagai rumah kebajikan.
MENYANTUNI kanak-kanak dari pelbagai rumah kebajikan.
Lizam Ridzuan


Meskipun dengan gaya ranggi dan 'ganas', ia hanyalah karakter bagi menjiwai aktiviti dan minat sendiri.

Malah bukan sekadar bermotosikal atau melakukan konvoi, mereka juga aktif dengan pelbagai aktiviti kebajikan di serata negara ini.

Untuk itu, baru-baru ini, pemilik motosikal Harley-Davidson menganjurkan Program 'Superkids Ride & Fly' sebagai aktiviti Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) mereka.

Di bawah program Wira Dua Roda, lebih 140 kanak-kanak daripada pelbagai rumah kebajikan di sekitar Lembah Klang disantuni di ruang pameran Harley-Davidson di Kuala Lumpur.

Pemilik motosikal dan ahli kelab berkesempatan untuk beramah mesra selain dibawa menaiki motosikal Harley-Davidson mengelilingi kawasan sekitar.

Pelbagai aktiviti menarik disediakan seperti mewarna dan jamuan.

Setiausaha Kelab Pemilik Harley-Davidson (HOG) Kuala Lumpur, Ananth M berkata, objektif utama usaha CSR ini adalah untuk berkongsi dan memberi senyuman kepada kanak-kanak ini dengan memberi mereka peluang pengalaman dibawa menunggang motosikal Harley Davidson serta memberi mereka 'sayap' untuk terbang di atas pesawat.

"Harapan kami ialah untuk memenuhi hajat terakhir sebahagian kanak-kanak ini yang sedang sakit tenat dan meskipun dalam tempoh singkat, semoga ia akan menjadi memori yang indah untuk mereka," katanya.

Kanak-kanak ini kemudian dibawa dengan bas yang diiringi lebih

40 pemilik Harley-Davidson menuju ke Lapangan Terbang Subang untuk menaiki pesawat ATR 72 dan berpeluang melihat pemandangan Kuala Lumpur pada waktu malam.

Program Superkids Ride & Fly ini juga mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia bagi kelancaran perjalanan ke Lapangan Terbang Subang.

Rumah kebajikan yang terbabit dalam program ini ialah Joy to the World Community Services, Promise Home, Persatuan Kebajikan Rakan Lutheran Selangor dan Ronald McDonald House Charities (RMHC).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 January 2023 @ 6:45 AM