Shila Amzah.
Shila Amzah.
Zaara Talita

 

Kuala Lumpur : Penyanyi Shila Amzah mendedahkan belum dapat berkongsi tarikh perkahwinannya dengan pempengaruh media sosial, Ubai kerana kesihatan ibu tunangnya yang tidak mengizinkan.

Penyanyi lagu Patah Seribu itu bagaimana pun memberikan gambaran bahawa majlis itu akan berlangsung pada Ogos depan.

"Memang sudah dekat kerana ibu Ubai kini berada di hospital dan belum dibenarkan pulang lagi. Jadi, selagi dia belum pulang, kami juga belum dapat mendedahkan tarikh perkahwinan. 

"Dari segi persiapan, seperti biasa dan saya rasa sudah siap lebih kurang 70 hingga 80 peratus. Kami akan adakan siaran langsung (live telecast) di media sosial. Semuanya bergantung kepada kesihatan ibu Ubai. 

"Yang penting semuanya bakal berlaku sebelum konsert, kerana pada bulan September saya akan ke China pula. Jadi, banyak benda yang perlu diselesaikan dalam bulan Ogos itu.

"Begitulah gambaran yang dapat saya kongsikan ketika ini," katanya. 

Ditanya mengenai keadaan kesihatan ibu tunangnya itu, Shila memaklumkan bakal ibu mentuanya sedang melalui rawatan radioterapi.

"Setakat ini, mak sedang melalui rawatan radioterapi yang mana tarikh akhirnya adalah esok. Kemudian, dia akan teruskan dengan rawatan kemoterapi untuk kali keenam. 

"Mak pun semestinya hendak berada di situ (majlis perkahwinan). Jadi sebab itulah saya belum dapat mendedahkan tarikh," katanya. 

Shila mengulas mengenai perkara itu ketika ditemui di sidang media Konsert RockMantic Night Judika and The Gang yang berlangsung hari ini.

Selain Shila, konsert yang bakal berlangsung pada 21 Oktober depan di Axiata Arena, Bukit Jalil turut menampilkan teraju utama Judika dari Indonesia serta dua penyanyi tempatan, Haqiem Rusli dan Marsha Milan.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Julai 2023 @ 9:14 PM