Ubai bersama ibunya, Allahyarham Rohani. Foto Instagram Story Ubai Mz
Ubai bersama ibunya, Allahyarham Rohani. Foto Instagram Story Ubai Mz
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: "Sha (Shila) memang rapat dengan arwah mak. Alhamdulillah, kami berdua setiap hari lawat mak dan menjaganya sepanjang dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sejak awal Julai lagi," kata tunang penyanyi Shila Amzah juga pempengaruh media sosial, Ubai MZ, 25.

Semalam, Ubai kehilangan ibu tercinta, Allahyarham Rohani Jamal, 52, yang menghembuskan nafas terakhir pada jam 6.45 petang di PPUM akibat kanser ovari dihidapinya sejak Disember tahun lalu.

Ubai atau nama sebenarnya, Muhammad Ubaidillah Mohd Zulkefli ketika dihubungi berkata, tarikh nikah pada 5 Ogos ini akan diteruskan sebagaimana pesanan terakhir Allahyarham emak yang tidak mahu ia ditangguhkan walau apa pun terjadi.

"Setiap hari, mak ingatkan kami agar teruskan majlis dan jangan tangguhkan. Pada semua doktor, jururawat di hospital termasuk ahli keluarga dan saudara-mara yang datang melawat pun arwah titipkan pesan agar teruskan majlis kami walaupun dia tiada.

"Saya pun selalu diingatkan oleh semua doktor dan jururawat yang menjaga emak agar tak lupa pesanan terakhir arwah itu untuk ditunaikan. Lagipun, mak memang sayangkan Sha sangat dan hubungan antara mereka amat rapat," katanya kepada Harian Metro.

Ubai berkata, segala urusan penting seperti dokumentasi untuk acara nikah sudah diselesaikan lebih awal. Jelasnya, cuma persediaan hantaran dan majlis saja yang kini rakan-rakan bantu uruskan.

"Mak juga pesan agar saya jaga Sha dengan baik, ayah, Mohd Zulkefli Yusoff, 54, adik bongsu, Allieya,17, dan keluarga dengan sebaiknya. Mak ada kata, arwah adik saya, Allahyarham Muhammad Azrullah Mohd Zulkefli, 22, mesti selalu dengan dia.

"Rupanya mak juga meninggalkan kami sekeluarga selepas dua bulan adik meninggal dunia akibat kemalangan," katanya mengakui akan tabah menghadapi ujian berat berhadapan kehilangan dua insan tersayang pada tahun ini.

Jenazah Rohani dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Tandang, Subang Jaya, jam 11.30 malam semalam.

Sebelum ini, Ubai dan Shila mengikat tali pertunangan pada 27 Mei lalu dalam satu majlis tertutup yang dihadiri ahli keluarga, saudara rapat dan kenalan.

Shila yang juga ibu tunggal pernah mendirikan rumah tangga dengan Haris Idraki Elias pada 2018 tetapi bercerai tahun lalu. Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan anak lelaki, Seth Uwais, 4.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Julai 2023 @ 3:04 PM