Norhayati Nordin


Kuala Lumpur : Majlis pernikahan penyanyi, Shila Amzah, 33, dengan pempengaruh media sosial, Ubai Mz, 25, Sabtu ini tetap diteruskan walaupun ibu Ubai, Rohani Jamal meninggal dunia, semalam.

Shila berkata, ia juga pesanan terakhir Rohani supaya majlis yang sudah dirancang itu diteruskan.

Rohani meninggal dunia pada jam 6.45 petang semalam akibat kanser ovari.

Shila turut berkongsi kenangannya bersama Allahyarham di mana dia dan Ubai kerap berulang-alik ke hospital untuk menjaga Allahyarham dan dalam masa sama turut sibuk membuat persiapan perkahwinan.

"Semua orang yang nak bernikah, buat video 'counting days' (menghitung hari). Dari bulan, ke minggu, ke hari, tapi saya dan Ubai ulang-alik ke hospital hampir setiap hari demi mak.

"Kita tak banyak gambar 'together' (bersama) mak, tapi saya sangat bersyukur walau sebelum jadi menantu mak dah layan macam anak sendiri, keluh kesah saya semua mak pujuk," tulisnya di Instagram.

Shila berkata, dia kagum dengan semangat Rohani yang sentiasa kuat dan positif walaupun kehilangan anak, Allahyarham Muhammad Azrullah Mohd Zulkefli yang meninggal dunia akibat kemalangan pada 4 Mei lalu.

"Dari adik meninggal dua bulan lepas, mak tetap jadi yang paling kuat. Kami pun tak mampu sekuat mak untuk semua yang mak pernah lalui.

"Mak cakap, kita yang hidup ini perlu teruskan kehidupan. Hargai siapa yang masih ada didepan kita. Dalam kehilangan anak pun, masih tetap nak bagi semangat pada orang lain," tulisnya.

Menurut Shila, Rohani juga paling teruja menantikan tarikh perkahwinannya dan Ubai termasuk berkeinginan menyiapkan persiapan majlis dan hantaran mereka, namun sedar keadaan kesihatannya tidak mengizinkan akibat sakit.

"Mak bagi kad kahwin pada semua orang, satu hospital dah tahu bila tarikh nikah kami. Mak juga pesan kat semua, apa-apa jadi teruskan majlis, jangan tangguh.

"Macam mana Sha nak kuat ni mak? Sha sayang dan akan rindu mak sangat-sangat. Al-Fatihah," tulisnya.

Shila berkata, arwah juga berpesan kepadanya agar membantunya menjaga adik bongsu Ubai, Allieya yang masih bersekolah menengah dengan baik, penuh kasih sayang dan beri sokongan pada pembelajaran dan aktiviti di sekolahnya.

Terdahulu, Shila dan Ubai atau nama sebenarnya, Muhammad Ubaidillah Mohd Zulkefli bertunang pada 27 Mei lalu dalam satu majlis tertutup yang dihadiri ahli keluarga, saudara rapat dan kenalan.

Shila juga ibu tunggal pernah mendirikan rumah tangga dengan Haris Idraki Elias pada 2018 tetapi bercerai tahun lalu. Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan anak lelaki, Seth Uwais, 4.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Julai 2023 @ 2:33 PM