JUDIKA terharu ramai beri respons gimik di sebalik konsert dibuat ‘team’ promosi. - FOTO Genes Gulitah
JUDIKA terharu ramai beri respons gimik di sebalik konsert dibuat ‘team’ promosi. - FOTO Genes Gulitah
Zaara Talita


Kelainan vokal 'jantan' yang dimiliki Judika menjadikan dirinya berbeza daripada penyanyi yang tumbuh ibarat cendawan selepas hujan.

Pernah merasai kepayahan hidup suatu ketika dahulu, Judika berjanji membantu bakat baharu tidak kira penyanyi atau komposer muda untuk merealisasikan impian.

Apatah lagi, permulaan kerjaya Judika bukan laluan mudah sebaliknya perlu berdepan pelbagai dugaan dan cabaran.

"Saya pernah rasa susah mencari ruang dalam industri nyanyian. Turun naik syarikat rakaman bukan sekali dua dengan karya ditolak mentah-mentah.

"Malah, ada kaset demo yang dikirim mungkin tidak didengari syarikat rakaman. Ketika itu, ada pihak meminta saya menghasilkan lagu seperti ST12. Mengapa mahu meniru identiti penyanyi lain bukan?

"Memang pengalaman sepanjang 'menjual' lagu dan suara saya penuh emosi," katanya.

Enggan menjadikan cabaran yang dilalui sebagai penghalang, Judika juga tidak pernah hilang semangat. Akhirnya, dia diterima menyertai program realiti, Indonesian Idol.

"Sudah disuratkan rezeki saya bermula di situ. Biar apa pun, saya ingat janji lalu. Menyanyikan lagu ciptaan komposer amatur ini adalah cara terbaik untuk mereka selangkah menggapai mimpi," katanya.

Berkongsi mengenai gimik di sebalik konsert yang diadakan pada 21 Oktober depan, Judika atau nama sebenarnya, Judika Nalon Abadi Sihotan menegaskan dia tidak berniat menimbulkan kebimbangan kepada peminat berkaitan dirinya.

Jelas penyanyi berusia 44 tahun, tindakannya memadam semua gambar sebelum ini adalah kerana mengikut cadangan 'team' bagi mempromosikan konsert Rockmantic Night Judika & The Gang.

"Memandangkan ini konsert pertama saya, jadi penganjur dan syarikat pengurusan terfikir untuk melakukan sesuatu bagi memberitahu peminat, saya akan adakan sesuatu yang istimewa kerana konsert itu bukan hanya di Kuala Lumpur, tetapi juga di beberapa negara Asia lain.

JUDIKA (dua dari kanan) bersama Marsha (dari kiri), Shila, penaja utama konsert Rockmantic Night Judika & The Gang, Datuk Alha Alfa dan Haqiem. - FOTO Genes Gulitah
JUDIKA (dua dari kanan) bersama Marsha (dari kiri), Shila, penaja utama konsert Rockmantic Night Judika & The Gang, Datuk Alha Alfa dan Haqiem. - FOTO Genes Gulitah

"Bagaimanapun, ramai yang menyangkakan saya mahu ucap selamat tinggal pada industri," katanya.

Sebelum ini, Judika mengundang spekulasi ramai apabila memadam hantaran gambar di Instagram dan meninggalkan sekeping gambar hitam putih.

Tambah Judika, dia menerima banyak mesej dan panggilan telefon yang mahukan penjelasan terhadap tindakannya itu.

"Kebetulan ketika kekecohan berlaku, saya sibuk uruskan perkara lain.

"Kemudian saya lihat banyak 'direct mesej' (mesej peribadi) yang masuk bertanya mengapa saya berbuat demikian, ada yang menangis kerana bimbang, yang membuat video dan mengaitkan masalah vokal saya sebelum ini dengan kehilangan saya.

"Sehingga saya matikan telefon bimbit untuk beberapa jam kerana tidak menyangka menerima respons yang demikian," katanya.

Kebimbangan peminat itu membuatkan Judika terkejut dan terharu kerana baharu menyedari bahawa ramai menghargai serta menyayangi dirinya.

"Ada yang tidak mempercayai saya lakukan perkara itu kerana tahu saya tidak pandai membuat sensasi.

"Jadi, saya sudah maklumkan pada 'team' supaya jangan buat lagi perkara seperti ini. Kalau saya betul-betul mahu meninggalkan industri (karier nyanyian) saya sendiri akan beritahu," katanya.

Selain Judika selaku teraju utama, konsert yang berlangsung pada 21 Oktober depan di Axiata Arena, Bukit Jalil turut menampilkan tiga penyanyi tempatan iaitu Shila Amzah, Haqiem Rusli dan Marsha Milan.

Konsert itu dibawakan oleh Kharisma Music bersama Alha Alfa dan DAD Management.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Julai 2023 @ 6:00 AM