Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: "Saya benar-benar minta maaf, menyesal dan mengambil pengajaran serta tanggungjawab atas apa yang dilakukan di media sosial itu," kata pekerja swasta dikenali

Zulhairi Abu Othman, 35, pada sesi pertemuannya bersama pelawak dan penyampai radio, Shuib Sepahtu, 39, hari ini.

Terdahulu, Zulhairi bertindak membuat hantaran di media sosial mendakwa Shuib adalah salah seorang ahli Freemason dan menjadi penyebab kematian isterinya, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin apabila terpaksa ditidurkan di hospital selepas dijangkiti Covid-19, dua tahun lalu.

Zulhairi ditemui berkata dia mengaku kesilapan dan kekhilafannya yang membuat hantaran berbaur fitnah terhadap Shuib berdasarkan 'copy' (salin) dan 'paste' (tampal) daripada hantaran dibuat pengguna media sosial lain.

"Saya minta maaf kepada Shuib di atas kekhilafan yang sudah dilakukan di media sosial itu. Sebenarnya saya hanya menyebarkan tulisan daripada pengguna lain yang saya 'copy' dan 'paste'.

"Malah, kesilapan saya adalah tidak memberi kredit kepada individu yang saya 'copy' dan 'paste' itu. Saya benar-benar minta maaf dan menyesal," katanya kepada media dalam pertemuan berkenaan.

Menurut Zulhairi, dia juga sedar hantaran yang dimuat naik di media sosial itu agak kejam, namun bersyukur kerana Shuib lembut hati sudi memaafkannya yang tampil memohon maaf secara terbuka kepada selebriti itu, hari ini.

Pada masa sama, Zulhairi yang mengaku sebagai peminat Sepahtu memberitahu dia tidak pernah mengenali Shuib dan juga arwah Siti Sarah secara dekat. Katanya, hantaran itu dibuat atas sebab sifat ingin tahu mengenai dakwaan terbabit.

"Saya tidak kenal kedua-dua mereka (Shuib dan Siti Sarah) Tapi, saya adalah peminat kumpulan Sepahtu dan saya mengaku tidak fikir panjang ketika menyebarkannya hantaran di media sosial. Apapun, kini saya sendiri rasa bersalah dan bertanggungjawab sebab ia sangat melampau.

"Dengan apa yang berlaku ini sangat memberi pengajaran kepada diri saya. Malah, selepas kesilapan besar yang dibuat saya sudah menutup terus akaun media sosial termasuk Facebook," katanya.

Zulhairi berkata, dia berharap isu yang sudah dicetuskan dengan Shuib itu tidak memberi kesan kepada kerjayanya kerana tidak mahu dibuang kerja berikutan mempunyai isteri dan anak yang perlu ditanggung.

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Julai 2023 @ 3:55 PM
SHUIB bertemu Zulhairi (kanan) yang membuat hantaran di media sosial yang mengaitkan arwah isteri Shuib dengan organisasi Freemason di Bubble Bee Taman Sri Permaisuri, Cheras. FOTO Aziah Azmee
SHUIB bertemu Zulhairi (kanan) yang membuat hantaran di media sosial yang mengaitkan arwah isteri Shuib dengan organisasi Freemason di Bubble Bee Taman Sri Permaisuri, Cheras. FOTO Aziah Azmee