RAP HM

Kuala Lumpur: Pengarah muzik terkenal, Datuk Ramli MS menyifatkan pelawak Shuib adalah insan yang bertuah kerana mendapat isteri seperti Allahyarham Siti Sarah Raisssuddin.

Ramli yang mengakui dia juga masih terkesan dengan berita pemergiaan Siti Sarah, 37, pada jam 5.13 pagi semalam, sangat mengejutkan seluruh negara.

Menurutnya, dia melihat sisi peribadi Siti Sarah sebagai artis yang berdedikasi, sangat komited pada kerjaya dan sukar untuk jumpa seorang penyanyi sepertinya.

"Saya sebenarnya sudah kenal Siti Sarah agak lama dari zaman bapanya, Raissuddin Hamzah yang turut terbabit dalam industri seni.

"Malah, ketika saya diundang sebagai artis jemputan dalam Sepahtu Reunion, saya juga pernah keluar makan bersama arwah dan suaminya, Shuib selepas program itu selesai.

"Saya tengok sendiri cara mereka berdua dan layanan Sarah pada Shuib begitu taat serta akrab. Ia berbeza dengan karekternya ketika membuat persembahan atau ketika Shuib tiada bersamanya. Bagi saya Shuib bertuah," katanya.

Ramli yang pernah bekerjasama dengan arwah Siti Sarah dalam program Gegar Vaganza musim ketiga (GV3) berkata dia menganggap penyanyi itu pergi dalam usia muda dan satu kehilangan besar buat suami, anak-anak serta seluruh keluarganya.

"Apapun, saya sangat mengharapkan agar Shuib kuat selepas ini kerana apa yang sudah berlaku itu adalah aturan baik dari Yang Maha Esa.

"Shuib kena teruskan hidup. Suratan sudah pun diatur cantik oleh Allah SWT. Terus fahami diri sendiri, orang lain dan menjadi bapa yang lebih kuat. Cepat atau lambat kita semua akan pergi juga," katanya.

Ramli berkata tiada ayat untuk dia menggambarkan berita duka mengenai pemergian mengejut Siti Sarah itu. Malah, dia juga tidak membuat apa-apa hantaran di media sosial mengenai arwah.

"Saya cuma sampaikan doa serta ucapan takziah kepada ahli keluarganya menerusi pengurus Allahyarham. Sebelum itu, isteri saya Alyah ada memberitahu saya mengenai keadaan arwah yang disahkan positif Covid-19," katanya.

Semalam, seluruh negara bersedih dengan pemergian Allahyarham Siti Sarah selepas bertarung dengan jangkitan Covid-19. Arwah disahkan meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM (HCTM).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Ogos 2021 @ 8:34 PM