SHUIB mahu ambil tindakan kepada pemfitnah.
SHUIB mahu ambil tindakan kepada pemfitnah.
Norhayati Nordin


PELAWAK dan penyampai radio, Shuib, 39, mendedahkan perniagaan yang diusahakannya sejak tiga tahun lalu berjaya meraih keuntungan jualan sebanyak jutaan ringgit, sekali gus mampu membuka banyak cawangan di seluruh negara.

Shuib atau nama sebenarnya, Shahmira Muhammad berkata, dia tahu ramai yang mempersoal dan mempertikaikan perniagaan kedai minuman diusahakan itu dengan kaitan dibiayai oleh golongan Freemason dan pelbagai dakwaan lain lagi.

"Ada juga yang mendakwa, 'ala dia bukan kaya raya pun sebab hasil jualan tidak seberapa dan buka banyak cawangan'. Di sini, saya nak beritahu hasil jualan BumbleBee untuk tiga tahun ini sebanyak RM150 juta dan sekarang kami ada lebih 300 pekerja.

"Alhamdulillah, saya bersyukur sangat dengan rezeki yang dikurniakan Allah ini untuk dikongsikan bersama-sama anak bangsa kita menerusi peluang pekerjaan disediakan, gaji berpatutan dan halal.

"Kejayaan ini saya percaya adalah berkat sokongan daripada orang ramai juga yang yakin dengan perniagaan saya. Walaupun ada banyak pihak tidak bertanggungjawab mendakwa dana perniagaan ini dilaburkan golongan Freemason," katanya.

Shuib berkata, dalam isu Freemason ini bukan dia seorang saja nama selebriti tanah air yang dikaitkan. Katanya, ada ramai artis menjadi mangsa pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan fitnah mengenai dakyah Freemason.

"Peliklah orang macam saya ini tiba-tiba Freemason nak laburkan duit. Kita cari duit susah pagi petang siang dan malam, tiba-tiba orang tuduh kita pengikut Freemason. Kita bukan artis Hollywood.

"Kalau saya begitu, tak adalah kerja lagi, jadi penyampai radio. Patut sekarang ini relaks saja duduk atas kapal layar sambil bercuti. Jadi, saya minta sangat hentikan tabur fitnah begini dan harap hal begini tidak berlaku lagi," katanya.

SHUIB kesal dikaitkan dengan Freemason.
SHUIB kesal dikaitkan dengan Freemason.

Ditanya apakah tindakan dilakukannya mencari dan bersemuka dengan 'pemfitnah' terbabit mendapat sokongan rakan artis yang turut didakwa Freemason, Shuib berkata, ramai menyokongnya dengan memberi kata-kata semangat.

"Saya meminta supaya semua pihak berhenti memanipulasikan fitnah terutama dengan perkongsian dan penulisan di media sosial. Berhati-hati apabila memuat naik sesuatu bahan di media sosial dan cuba guna kemudahan teknologi ini sebaiknya.

"Saya pun banyak khilaf, tetapi rasanya permainan media sosial yang melampau seperti ini perlu segera dihentikan. Apatah lagi, saya tahu ada ramai lagi nama artis lain yang dipetik kononnya terbabit dan ada kaitan dengan Freemason," katanya.

Terdahulu, Shuib tampil di hadapan pengamal media untuk bertemu 'pemfitnahnya' di media sosial iaitu Zulhairi Abu Othman, 35, yang hadir memohon maaf secara terbuka kepada bapa empat anak itu di premis perniagaan Shuib di Cheras, kelmarin.

Zulhairi memfitnah Shuib sebagai seorang daripada ahli Freemason dan turut mendakwa dia menjadi punca Allahyarham isterinya, Siti Sarah Raissuddin ditidurkan dan meninggal dunia akibat Covid-19 dua tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Julai 2023 @ 6:30 AM