Shuib
Shuib
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Kurang 24 jam tempoh diberikan, individu yang didakwa memfitnah pelakon, pelawak dan penyampai radio, Shuib, 39 di media sosial, baru-baru ini sudah dikesan apabila dia tampil menghubungi selebriti popular itu.

Shuib ketika dihubungi berkata, individu itu sudah menghubunginya dan mengaku perbuatannya itu. Mereka juga akan mengadakan pertemuan esok.

"Alhamdulillah, saya dah dapat bercakap dengan dia. Insya-Allah, kami akan bertemu esok untuk mendengar penjelasan atas tindakannya itu," katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, Shuib nekad mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang pengguna media sosial yang didakwa menyebarkan fitnah terhadapnya serta mengaitkan isteri, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin.

Shuib berkata, tindakan individu itu mengaitkan dia dengan Freemason dan mendakwa Siti Sarah dipaksa untuk ditidurkan ketika dijangkiti Covid-19 ketika itu sangat melampau.

Ia bukan saja membabitkan Allahyarham isterinya, tetapi juga pihak hospital.

Shuib berkata, dia yang mulanya tahu mengenai perkara itu menerusi perkongsian daripada syarikat pengurusan, Indigital Music pada 30 Jun lalu awalnya bersikap tenang saja.

Shuib menerusi hantaran di Instagram berkongsi hantaran dibuat individu terbabit yang didakwa memfitnahnya dengan tuduhan tidak benar dan tidak berasas yang dikongsi di Facebook sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Julai 2023 @ 3:24 PM