Shuib mohon padam gambar, video arwah isteri tak tutup aurat.
Shuib mohon padam gambar, video arwah isteri tak tutup aurat.
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Pelawak dan usahawan, Shuib Sepahtu memohon jasa baik orang ramai untuk tidak memuat naik foto atau video berkaitan Allahyarham isterinya, Siti Sarah Raissuddin yang tidak menutup aurat di media sosial. 

Menerusi hantaran terkini dimuat naik di Instagramnya, Shuib atau nama sebenar Shahmira Muhamad turut meminta kerjasama daripada semua agar tidak lagi berkongsi hal kebaikan yang pernah dilakukan arwah isteri kesayangannya secara berlebih-lebihan.

"Assalammualaikum semua, saya ucapkan jutaan terima kasih pada semua yang mendoakan Allahyarhamah Siti Sarah Raissuddin, bidadari syurga saya. 

"Tapi saya ada permintaan, di mana saya mohon pada semua untuk tidak mengeluarkan lagi gambar atau video arwah yang tidak menutup auratnya dengan sempurna.

"Saya juga mohon pada yang termuat naik di media sosial untuk keluarkan kembali video atau gambar tersebut. Dan saya juga mohon untuk tidak menceritakan kebaikan Allahyarhamah secara berlebih lebihan," tulisnya. 

Pada masa sama, bapa kepada empat cahaya mata ini turut berkongsi adalah lebih baik untuk bersederhana dalam setiap perkara yang dilakukan. 

"Cukuplah kita bersederhana dalam setiap perkara dan perbuatan kita. InsyaAllah semoga kita diberkati dan dirahmati Allah SWT," tulisnya lagi.

Pada 9 Ogos lalu, Allahyarham Siti Sarah menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada jam 5.13 pagi, akibat Covid-19.

Jenazah Siti Sarah kemudiannya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak.

Pasangan Shuib dan Siti Sarah bernikah pada Februari 2011 dan hasil perkongsian hidup itu mereka dikurniakan cahaya mata, Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, Ariq Matin, 6, dan Ayash Affan yang dilahirkan pada 6 Ogos lalu secara pembedahan.

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Ogos 2021 @ 11:37 PM