TANGKAP layar hantaran di Instagram milik Shuib ditemani peguamnya.
TANGKAP layar hantaran di Instagram milik Shuib ditemani peguamnya.
Zaara Talita

Kuala Lumpur: Usahawan dan pelawak, Shuib mengambil pendekatan memaafkan netizen, John Dihani yang menyebarkan fitnah terhadapnya dan Allahyarham Siti Sarah Raisuddin di media sosial pada Julai tahun lalu.

Shuib atau Shahmira Muhamad, 40, selepas lima bulan akhirnya dapat bertentang mata dengan individu berkenaan dalam pertemuan yang berlangsung di Kompleks Mahkamah Shah Alam, pagi tadi.

"Alhamdulillah selesai sudah kes fitnah terhadap saya dan arwah Siti Sarah. Hampir lima bulan dan hari ini semuanya telah pun terjawab.

"Fitnah kamu John Dihani adalah langsung tak berasas dan tak masuk akal! Tetapi atas dasar ehsan dan profesional saya maafkan. Saya juga turut halalkan segala fitnah terhadap saya," katanya.

Shuib berkongsi perkara itu menerusi hantaran di Instagram miliknya yang turut memaparkan Shuib ditemani peguamnya.

Menerusi video yang dikongsikan itu, John atau Mohd Johan Dihani Mohd Zaini turut membaca kenyataan maaf dan fitnah sebaik saja selesai mencapai kata sepakat sebelum bersalaman dengan Shuib sebagai tanda berdamai.

Selain membuat permohonan maaf, Shuib berkata John juga perlu menanggung akibat dengan membayar sejumlah saman kepadanya namun tidak memperincikan jumlah bayaran itu.

Malah, wang itu turut diserahkan sepenuhnya kepada tabung Palestin menerusi Yayasan Nurjiwa.

Shuib juga berharap John tidak akan mengulangi kesilapan sama selain menjadi pengajaran kepada pengguna media sosial lain agar tidak semudahnya menyebarkan fitnah.

Pada 4 Julai lalu, Shuib berkongsi dua paparan pengguna media sosial yang menyebarkan fitnah kononnya dia terlibat dengan ikutan Freemason.

Menerusi hantaran berkenaan, individu itu mendakwa isterinya, Siti Sarah ditidurkan secara paksa kerana Shuib ingin membuktikan pada ibu mengandung mengenai risiko tidak mengambil vaksin.

Salah seorang individu yang memfitnah Shuib iaitu Zulhairi Abu Othman, 35, telah bersemuka dan tampil membuat permohonan maaf.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2024 @ 1:34 PM