Saiful Azmi Jamsari
Saiful Azmi Jamsari
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Program dokumentari seram, Detik 12 Malam yang kini ditayangkan untuk musim kelima mencatat rating lebih sejuta tontonan.

Pengacara, Saiful Azmi Jamsari berkata, jumlah itu adalah satu pencapaian yang cemerlang selepas fasa pandemik yang mana, memberi kesan kepada program itu sebelum ini.

"Graf rating sedikit menurut apabila dua tahun kita berada dalam fasa pandemik. Jadi, apabila kami dimaklumkan mengenai catatan rating yang mencecah lebih sejuta, alhamdulillah, ini adalah satu pencapaian cemerlang untuk kami bangkit semula," katanya kepada Harian Metro.

Azmi berkata, itu sekali gus membuktikan bahawa program dokumentari yang ditayangkan di TV3 pada setiap Sabtu itu masih lagi diterima baik oleh penonton.

"Nampaknya, program Detik 12 Malam masih lagi berjaya menarik perhatian penonton. Bukan sahaja di kaca TV, bahkan, di saluran YouTube TV3 juga turut mendapat perhatian penonton pelbagai lapisan usia.

"Menariknya, di YouTube, kita dapat melihat maklum balas dan reaksi daripada penonton, yang mana, rata-rata turut berkongsi pengalaman paranormal mereka.

"Mungkin masih ada yang keliru, tetapi, saya ingin jelaskan bahawa Detik 12 Malam adalah program dokumentari yang mana, kandungannya asli dan berdasarkan siasatan. Ia bukan olok-olok," katanya.

Musim kelima Detik 12 Malam kini hanya tinggal dua episod terakhir sebelum melabuhkan tirainya pada minggu hadapan.

Untuk musim ini, Detik 12 Malam membawa tetamu undangan dalam kalangan selebriti, peneroka paranormal dan menemubual mereka yang pernah melalui pengalaman seram di lokasi yang diteroka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Februari 2023 @ 2:24 PM