Penganjuran Anugerah Bintang Popular BH ke 33 (ABPBH33), Jumaat lalu meraih 6 juta tontonan. FOTO ASYRAF HAMZAH
Penganjuran Anugerah Bintang Popular BH ke 33 (ABPBH33), Jumaat lalu meraih 6 juta tontonan. FOTO ASYRAF HAMZAH
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Penganjuran Anugerah Bintang Popular BH ke 33 (ABPBH33), Jumaat lalu menjadi penanda aras baharu program anugerah tempatan apabila berjaya meraih 6 juta tontonan atau 43 peratus syer penonton ketika ditayangkan secara langsung sekali gus melebihi beberapa program lain yang turut ditayangkan pada waktu sama. 

Kajian oleh Nielsen Malaysia itu turut mendapati ia merekodkan peningkatan sebanyak 200,000 tontonan berbanding ABPBH tahun lalu. 

Berlangsung dalam norma baharu tanpa kehadiran penonton serta pelbagai prosedur operasi standard (SOP) ketat, ia bukanlah halangan, malah turut mendapat kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Tidak hanya di kaca TV, ABPBH33 turut meraih peningkatan jumlah tontonan strim langsung di YouTube TV3 Malaysia dengan 700,000 tontonan.

Selain jumlah tontonan yang tinggi, jumlah undian juga mengejutkan seluruh industri hiburan apabila penyanyi, Haqiem Rusly berjaya meraih undian sebanyak 22,332,676 undian sekali gus muncul sebagai pemenang anugerah utama, Bintang Paling Popular.

Jumlah itu juga sekaligus menjadi jumlah undian tertinggi pernah dicatat dalam sejarah penganjuran ABPBH sejak dimulakan pada 1987.

Selain mengungguli kategori Bintang Paling Popular, Haqiem turut memenangi kategori Penyanyi Lelaki Popular Xiaomi Malaysia dan kategori online, Lagu Paling Boom menerusi lagu Lembah Kesepian. 

Dengan kemenangan itu, Haqiem menerima hadiah utama kereta Nissan LEAF Serba Baharu dengan kuasa elektrik 100 peratus dan sifar emisi berharga RM181,263 tajaan Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) dan trofi. 

Malam kemuncak ABPBH 33 dibawakan penaja utama Xiaomi Malaysia, disiarkan secara langsung di TV3 serta saluran Tonton, YouTube TV3 dan BH termasuk laman web ABPBH di www.abpbh.com.my , dan buat julung kalinya juga menerusi laman aplikasi TikTok dari Axiata Arena Bukit Jalil. 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 November 2020 @ 6:13 PM