Syafil Syazwan Jefri


Filem Tamil dari Malaysia nampaknya semakin mencuri tumpuan ramai penonton, lebih-lebih lagi apabila ia mula ditayangkan di platform digital seperti Netflix yang memudahkan lagi akses penonton.

Terbaharu, saya berkesempatan menonton filem Tamil berjudul Poochandi yang mana, trailernya menjadi tarikan utama untuk memancing perhatian saya.

Filem arahan JK Wicky ini sebenarnya sudah ditayangkan di pawagam pada 27 Januari lalu, namun mula ditayangkan Netflix pada November lalu.

Secara ringkasnya, Poochandi mengisahkan mengenai wartawan dari Madurai bernama Murugan lakonan RJ Ramana yang menjelajah Malaysia untuk mencari kisah-kisah seram.

Perjalanan itu membawanya bertemu dengan Shankar (Tinesh Sarathi Krishnan) yang pernah berhadapan dengan situasi menyeramkan dan terbuka untuk berkongsi kisahnya.

Shankar berkongsi mengenai kisah seram yang pernah dilaluinya bersama dua sahabat iaitu Anbu dan Guru selepas mereka menggunakan wang syiling lama untuk memuja roh dalam permainan Ouija.

Dari situ, hidup mereka mula dihantui dengan pelbagai insiden sehingga nyawa salah seorang daripada mereka turut melayang.

Adakah kematian salah seorang daripada mereka disebabkan roh jahat itu? Itu semua menjadi tanda tanya sekali gus membawa penonton untuk mencari jawapan sendiri.

Apa yang boleh saya katakan, ini adalah karya berkualiti dari negara kita dan sepatutnya diberikan perhatian.

Mungkin ada beberapa bahagian yang dapat dilihat ada kekurangan, namun saya secara peribadi tidak merasakan bahawa itu mengganggu dan merosakkan jalan ceritanya.

Jalan ceritanya mudah difahami dan yang paling menarik perhatian saya adalah, ia turut diselitkan dengan elemen sejarah serta kisah yang mungkin menjadi legenda dalam kalangan masyarakat India dan mereka yang beragama Hindu.

Ada juga babak yang bagi saya masih lagi perlu diperbaiki kerana kelihatan agak canggung. Namun, secara keseluruhan, usaha dan karya yang digarap oleh JK ini patut dipuji.

FILEM: Poochandi

PENGARAH: JK Wicky

PENULIS SKRIP: Thanabalan Kuppusamy

PELAKON: RJ Ramana, Ganesan Manohgaran, Tinesh Sarathi Krishnan, Logan, Hamsni Perumal

TERBITAN: Trium Studio

ULASAN: Syafil Syazwan Jefri

(Ulasan filem ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan pemerhatian dan pengalamannya menonton filem berkenaan)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Disember 2022 @ 6:30 AM