Asri (tengah) bersama Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam, Datuk Che Rahim Jusoh diringi Pegawai Maritim hadir proses pelupusan abu Al-Quran  di Perairan Kuala Besar hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Asri (tengah) bersama Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam, Datuk Che Rahim Jusoh diringi Pegawai Maritim hadir proses pelupusan abu Al-Quran di Perairan Kuala Besar hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK) sudah melupuskan 77 tan abu al-Quran di perairan negeri itu sejak 2015.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri Kelantan Mohd Asri Mat Daud berkata, JAHEAIK menerima banyak permohonan pelupusan al-Quran yang rosak terutama selepas berlakunya bah kuning pada 2014.

Menurutnya, bagi mana-mana naskhah al-Quran yang sudah rosak boleh dibawa melalui pejabat agama jajahan atau terus kepada JAHEAIK untuk diurus mengikut syarak.

"Teks al-Quran ini kemudiannya dibakar menggunakan relau keno atau insinerator pembakaran al-Quran di pejabat JAHEAIK untuk dijadikan abu sebelum dikumpulkan sebelum dilepaskan ke laut," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Program Pemuliaan Abu Al-Quran Bersama Penenggelaman Vessel Lucut Hak Maritim Negeri Kelantan di Perairan Kuala Besar di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah JAHEAIK Datuk Che Mohd Rahim Jusoh.

Mohd Asri berkata, dalam program yang diadakan pada hari ini, sebanyak 2.07 tan abu al-Quran dilupuskan bersama tiga kapal nelayan asing bernilai RM1.2 juta yang sudah dilucut hak oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk dijadikan sebagai tukun tiruan.

"Abu al-Quran yang dilupuskan pada hari ini dikumpul dalam tempoh enam bulan bermula awal Januari lalu dan kebanyakannya adalah naskhah yang rosak akibat banjir yang berlaku di Pasir Mas pada akhir tahun lalu.

"Proses pelupusan itu disempurnakan di kawasan yang mempunyai kedalaman 21 meter kira-kira lima batu nautika dari jeti Kuala Besar bagi memastikan bahan yang dilupuskan itu tidak kembali hanyut ke darat," katanya.

Menurutnya, bagi melupuskan al-Quran mengikut kaedah-kaedah yang sudah ditetapkan syarak sebagaimana yang diputuskan di dalam Mesyuarat Jemaah Ulama' Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) pada Disember 2006 iaitu debu al-Quran yang sudah dibakar hendaklah ditanam atau dibuang ke dalam laut atau sungai yang mengalir airnya dengan jarak sekurang-kurangnya lima batu nautika dari daratan.

"Permintaan yang berterusan daripada masyarakat dan pelbagai agensi untuk melupuskan al-Quran rosak sudah mencatatkan peningkatan dari semasa ke semasa," katanya.

Beliau turut menasihatkan kepada masyarakat Islam di negeri ini supaya melupuskan al-Quran yang sudah rosak atau tidak dapat digunakan dengan cara yang betul dan tidak membakarnya bersama kertas atau sampah lain.

"Sebaliknya, ia perlu dibakar sebelum ditanam di kawasan yang bersesuaian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2024 @ 4:02 PM