AZIZULHASNI berentap dengan  Jason Kenny di Sukan Olimpik  Tokyo.
AZIZULHASNI berentap dengan Jason Kenny di Sukan Olimpik Tokyo.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Datuk Azizulhasni Awang atau The Pocket Rocketman kini sudah bersedia 'meroket' dan meluncur laju untuk menghadiahkan pingat emas pertama negara di temasya Olimpik Paris bermula 26 Julai ini.

Tiada apa perlu diragui lagi atas kemampuan Azizul yang turut disandarkan menyumbangkan emas kepada negara di samping Lee Zii Jia dan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dalam acara badminton.

Velodrom Saint Quentin en Yvelines mungkin akan menjadi saksi penampilan terakhir Azizul di pentas Olimpik dengan pelumba berusia 36 tahun itu berharap akan dapat menghadiahkan sesuatu yang bernilai buat negara tercinta.

"Perjalanan dan kerja keras bukan sahaja tentang mencapai destinasi, ia tentang menjadi orang yang mampu mencapai cita-cita anda.

"Percaya pada kebolehan anda, kekal fokus pada matlamat anda dan biarkan semangat anda membimbing anda melalui setiap halangan," kata Azizul yang menjadi pegangannya dalam hantaran di akaun media sosialnya.

Sebelum ini ramai mempersoalkan kemampuan Azizul terutama dia sekali lagi mengalami masalah kesihatan berhubung dengan jantungnya apabila perlu mengambil ubat perikarditis - ubatan yang berkaitan dengan jantungnya awal tahun ini.

Namun dia bangkit membuktikan kemampuan apabila meraih emas di Kejohanan Piala Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa di Adelaide, Australia dalam acara keirin Februari lalu.

Pada penampilan di Tokyo Olimpik 2020, Azizul menghadiahkan perak selepas tewas di tangan pelumba Great Britain, Jason Kenny yang mempertahankan emas dimenanginya di Rio 2016.

Pada penampilan ketiga di Rio 2016, Azizulhasni berjaya meraih gangsa dalam acara keirin sebelum memperbaiki kilauan pingatnya kepada perak di Tokyo 2020.

Kem berbasikal trek negara ke Paris 2024 turut disertai Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan pelumba wanita, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2024 @ 3:51 PM