Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil

Kuala Lumpur: Kadar had laju di kawasan sekolah disaran supaya dikuatkuasakan kepada 30 kilometer perjam (km/j) bagi meningkatkan keselamatan khususnya membabitkan kanak-kanak.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu diputuskan menerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Keseksaan Jalan Raya (JKMKKJR).

Menurutnya, perkara itu menjadi antara isu yang dibincangkan susulan jumlah kematian purata setiap tahun membabitkan kemalangan maut di kawasan sekolah mencecah 67 orang.

"Apa dicadangkan oleh jawatankuasa adalah menurunkan had laju kepada 30 km/j di kawasan sekolah (daripada 40 km/j ketika ini).

"Disamping itu pembinaan bonggol juga dicadangkan tanpa membabitkan peruntukan dari mana-mana kementerian tetapi pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pihak sekolah boleh bekerjasama melakukannya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media JKMKKJR yang turut dihadiri Menteri Pengangkutan, Anthony Loke di Pusat Info Trafik dan Kawalan Lampu Isyarat Kuala Lumpur (KLCCC), Bukit Jalil, di sini hari ini.

AHMAD Zahid (dua,kiri) melawat bilik kawalan ketika hadir pada Mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya Bilangan 2  Tahun 2024 di Kuala Lumpur Command Control Centre hari ini. FOTO Hazreen Mohamad
AHMAD Zahid (dua,kiri) melawat bilik kawalan ketika hadir pada Mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya Bilangan 2 Tahun 2024 di Kuala Lumpur Command Control Centre hari ini. FOTO Hazreen Mohamad

Ahmad Zahid berkata berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) 323 kemalangan membabitkan kecederaan atau kematian dicatatkan di kawasan sekolah sepanjang tahun lalu.

Katanya, berdasarkan dapatan kajian antarabangsa sekiranya had laju dikurangkan 1km/j ia mampu mengurangkan kadar kematian sehingga lima peratus.

"Satu Pasukan Petugas perlu diwujudkan bagi menetapkan jangka masa yang sesuai, mengenalpasti zon mula dan tamat dan mewartakan had kelajuan di kawasan sekolah.

"Sebagai satu tanggungjawab sosial, saya berharap Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersedia mewujudkan kerjasama antara sekolah dan PIBG untuk membina bonggol bagi mengurangkan kelajuan kenderaan supaya pelaksanaan 30 km/j lebih berkesan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2024 @ 3:51 PM