AYDA dan Fyna ketika diumumkan sebagai duo terbaik konsert Famili duo minggu keempat.
AYDA dan Fyna ketika diumumkan sebagai duo terbaik konsert Famili duo minggu keempat.
Ramlah Zainal


GANDINGAN penyanyi adik beradik, Ayda Jebat dan Fyna Jebat muncul sebagai duo terbaik pada minggu keempat program realiti, Famili Duo yang bersiaran secara langsung dari Studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, Ahad lalu.

Ayda dan adiknya, Fyna berjaya membawa pulang hadiah juara mingguan sebanyak RM10,000.

Persembahan mantap mereka yang mendendangkan lagu Bertakhta Di Hati nyanyian asal Farahdhiya bukan saja menghiburkan penonton, malah menawan hati juri, Ajai dan Mas Idayu.

Konsert minggu keempat Famili Duo ini menyaksikan tujuh pasangan selebriti popular berentap membawa persembahan bertemakan cinta dan romantis.

Kerja keras Ayda dan Fyna juga membuahkan hasil apabila berjaya menduduki tempat pertama dengan markah konsert minggu keempat sebanyak 57.7 peratus serta markah keseluruhan sebanyak 247 peratus.

Ketika ditemui selepas konsert, Ayda dan Fyna masing-masing bersyukur kemenangan berpihak kepada mereka pada malam itu.

"Alhamdulillah, kami berasa gembira dengan kemenangan ini. Kami sudah buat yang terbaik dan harap penonton juga berpuas hati dan terhibur dengan persembahan pada konsert minggu keempat ini.

"Jika nak diikutkan kami sudah meletakkan 'standard' yang tinggi sejak persembahan pada minggu pertama lagi. Pada konsert minggu keempat ini, jadual saya padat hingga Fyna terpaksa berlatih sendiri sebagai persiapan untuk konsert," katanya

Mengenai pemilihan lagu pula, kata isteri pengacara Nabil Mahir itu, dia dan Fyna sepakat untuk memilih lagu Bertakhta Di Hati itu selepas hasil perbincangan.

PERSEMBAHAN mantap gandingan Ayda dan Fyna pada konsert Famili Duo minggu keempat.
PERSEMBAHAN mantap gandingan Ayda dan Fyna pada konsert Famili Duo minggu keempat.

"Pada mulanya Fyna memilih lagu lain tetapi saya memintanya untuk menukar kepada lagu Bertakhta Di Hati yang juga dendangan asal penyanyi Farahdhiya itu kerana ia lebih sesuai dan menepati konsep yang kami mahu ketengahkan," katanya.

Sebagai peserta, kata Fyna, mereka juga berasa tekanan untuk memberikan persembahan yang lebih baik dan memuaskan hati barisan juri dan penonton pada setiap minggu.

"Apabila sudah bergelar juara mingguan, pastinya penonton mengharapkan persembahan kami lebih baik lagi. Kami harap dapat buat yang terbaik pada konsert tema dangdut pula pada minggu depan," katanya.

Ditanya peserta yang memberi persaingan pula, kata Fyna, semua peserta ada kelebihan masing-masing.

"Sebenarnya, kami lebih kepada mencabar kemampuan diri sendiri. Bila kita tengok persembahan peserta lain, kita juga perbaiki kelemahan diri dan sentiasa melihat dari sudut positif," katanya.

Selain Ayda dan Fyna, pasangan Sissy Iman dan Naim Daniel turut menarik perhatian ramai dengan persembahan memukau yang menerapkan tema putih ketika mendendangkan lagu Akad pada konsert minggu keempat itu.

Sissy dan Naim menduduki tangga kedua dengan markah sebanyak 52.8 peratus. Mereka juga menerima komen positif daripada juri, Ajai dan Mas Idayu.

Pasangan duo Ara Johari dan Shaffiq Erwin yang mendendangkan lagu I Surrender pula menduduki tempat ketiga dengan markah sebanyak 48.2 peratus.

Turut bersaing pada konsert minggu keempat ialah Zaki Yamani/Yamani Abdillah menerusi lagu Hati (48.1 peratus), Bella Astillah/Wani Kayrie dengan lagu Terlalu Istimewa (33.8 peratus), Siti Saida Siti Sairah dengan lagu Cinta Luar Biasa (23.5 peratus) dan Sabhi Saddi & FareedPF K-Clique pula dengan lagu Dealova (17 peratus).

Famili Duo akan tampil dengan tema dangdut pada konsert minggu kelima, pada jam 9 malam, Ahad depan di TV3.

Program ini juga boleh diikuti melalui strim langsung secara HD di www.tonton.com.my. Gunakan tanda pagar #familiDuoTV3 untuk menghangatkan lagi perbualan di media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 January 2023 @ 6:30 AM