Pasangan adik-beradik, Syaiful dan Sharif; Haqiem Rusli dan Ariff Bahran (sepupu) serta Adira Suhaimi dan Emma Suhaimi (adik-beradik) berjaya mara ke peringkat akhir Famili Duo musim ketiga (FD3) bergambar bersama peserta tersingkir pada separuh akhir Famili Duo 3 di Studio NTV7, Glenmarie. FOTO ASWADI ALIAS
Pasangan adik-beradik, Syaiful dan Sharif; Haqiem Rusli dan Ariff Bahran (sepupu) serta Adira Suhaimi dan Emma Suhaimi (adik-beradik) berjaya mara ke peringkat akhir Famili Duo musim ketiga (FD3) bergambar bersama peserta tersingkir pada separuh akhir Famili Duo 3 di Studio NTV7, Glenmarie. FOTO ASWADI ALIAS
Ridzuan Abdul Rahman


Shah Alam: Pemilihan tiga pasangan peserta ke pentas akhir Famili Duo 3, malam tadi dibuat untuk memberikan keadilan terhadap semua peserta.

Penerbit Eksekutifnya, Muhamad Sufian Che Isa berkata, ia mengambil kira mereka yang pernah bergelar juara mingguan atau Duo Terbaik sepanjang tujuh minggu bersaing termasuk markah keseluruhan yang berjaya dikumpul.

"Keputusan ini diambil selepas perbincangan bersama pihak produksi dan stesen televisyen. Mereka sepakat untuk memilih pasangan yang pernah menjadi juara mingguan saja.

"Disebabkan itu hanya tiga pasangan yang berjaya mara ke pentas akhir ini. Kita sebenarnya melihat persembahan enam pasangan ini secara keseluruhan dan pemilihan untuk ke pentas akhir dibuat berdasarkan juara mingguan.

"Jadi, mereka yang terpilih untuk ke akhir adalah pasangan yang pernah bergelar juara mingguan. Pada kami, sekiranya ada pasangan keempat yang mara ke akhir, ia agak kurang adil," katanya pada sidang media selepas konsert separuh akhir Famili Duo 3 di Studio ntv7, Glenmarie, di sini, malam tadi.

Sufian berkata, adalah tidak adil sekiranya tiga lagi pasangan tidak pernah bergelar juara mingguan dan terpilih ke akhir akan bergelar juara pula.

"Sekiranya salah satu daripada tiga pasangan yang tidak mara itu bergelar juara mingguan pada konsert separuh akhir, kemungkinan akan ada empat finalis. Tapi malangnya tiada di antara mereka yang menang," katanya.

Tiga pasangan yang berjaya melangkah ke pentas akhir iaitu pasangan adik-beradik, Syaiful dan Sharif Zero; Haqiem Rusli dan Ariff Bahran (sepupu) serta Adira Suhaimi dan Emma Suhaimi (adik-beradik).

Syaiful dan Sharif mendahului dengan 399.4 markah, manakala Haqiem dan Ariff di kedudukan kedua (368.6 markah) dan tempat ketiga menjadi milik Adira dan Emma (365.2 markah).

Tiga pasangan yang tidak berjaya mara ke peringkat akhir adalah suami isteri, Fuad Rahman dan Tom (342.6 markah), pasangan adik-beradik, Shila Amzah dan Syahir Amzan (310.7 markah) dan satu lagi pasangan adik-beradik, Ryan Bakery dan Adam Bakery (308.7 markah).

Keputusan itu diumumkan hos, Izzue Islam dan Janna Nick selepas dinilai juri tetap, Ajai dan Mas Idayu.

Ketiga-ketiga pasangan yang berjaya mara ke peringkat akhir bakal bersaing dalam dua pusingan iaitu bertemakan bebas dan lagu duet popular untuk ditampilkan pada Ahad depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 November 2023 @ 11:13 AM