AYDA teruja berkongsi pentas dengan Fyna mahu beri impak dalam Famili Duo.
AYDA teruja berkongsi pentas dengan Fyna mahu beri impak dalam Famili Duo.
Najiy Jefri


Bagi memastikan kehadirannya terus diingati dan mekar di hati peminat setia, penyanyi popular Ayda Jebat tampil bekerjasama dengan adiknya, Fyna Jebat dalam program realiti, Famili Duo musim kedua yang menemui penonton di TV3 secara langsung mulai 18 Disember ini.

Mengaku teruja apabila berpeluang berkongsi pentas dengan adik kandungnya, Ayda berharap pembabitan mereka dalam program itu dapat mengubat kerinduan peminat yang sentiasa menantikan kehadirannya dalam bidang nyanyian.

"Sebenarnya saya rindu nak menyanyi atas pentas sebab dah lama tak buat persembahan sejak pandemik Covid-19. Selalu kalau buat persembahan bukan semua ditayangkan di kaca TV.

"Tapi, kali ini saya dapat kongsikan peluang diperoleh bersama Fyna. Pada awalnya, Fyna agak berat menyertai program ini kerana dia penyanyi 'underground', tapi bila dipujuk beberapa kali, dia akhirnya mengalah dan mahu mencabar diri.

"Jujurnya kami sudah lama tidak menyanyi bersama, jadi saya anggap pentas ini platform terbaik kami adik-beradik berkongsi minat sama dalam bidang nyanyian," katanya.

Mengenali figura yang terkenal dengan lagu Pencuri Hati ini, Ayda antara selebriti yang sentiasa fokus dan bersungguh-sungguh dalam setiap apa dilakukan tanpa mengambil peduli kos bayaran yang perlu dikeluarkan.

Ayda berkata, menerusi program itu dia perlu mengeluarkan duit sendiri untuk memastikan semua yang dirancang berjalan lancar, selain menghargai segala penat lelah pasukannya.

"Saya akui penyertaan dalam program ini seolah-olah 'menjerat diri' sebab saya sibuk dengan urusan kerja lain, begitu juga dengan Fyna.

"Jadi, masa yang diperuntukkan dalam program ini perlu dilaksanakan sebaik mungkin. Kami ada pasukan yang besar untuk projek ini. Banyak persiapan sudah kami lakukan dan boleh dikatakan bayaran dikeluarkan agak tinggi.

"Mungkin penonton sekadar melihat apa yang kami persembahkan setiap minggu, tapi ramai individu terbabit dalam persembahan saya. Kalau bab susunan muzik dan elemen drama atas pentas saya uruskan, manakala Fyna jaga bahagian vokal.

"Kemudian, kami ada guru vokal iaitu Cikgu Shafi yang membimbing setiap minggu. Selain itu, kami juga ada pengarah pentas yang akan memastikan setiap apa yang kami mahu dapat direalisasikan. Malah, kami juga menggunakan khidmat jurumekap dan penata gaya peribadi," katanya.

BERKONGSI minat sama dalam bidang nyanyian.
BERKONGSI minat sama dalam bidang nyanyian.

Tambah Ayda, sebagai selebriti penyertaannya dalam program realiti itu bukan sekadar suka-suka, sebaliknya ada amanah yang perlu dilaksanakan sebaik mungkin.

"Ketika TV3 menawarkan kami untuk menyertai program ini, saya anggap ini satu peluang keemasan untuk kami buktikan. Jadi, kami seboleh mungkin nak memberi magis dan impak kepada program ini.

"Lagipun ini adalah tanggungjawab yang perlu digalas sebaik mungkin. Saya tak nak digelar peserta asal masuk saja, sebab itu bukan diri saya. Sekurang-kurangnya saya nak penonton melihat persembahan kami antara yang boleh diingati," katanya.

Selain Ayda dan Fyna, Famili Duo turut disertai enam pasangan selebriti iaitu Ara Johari & Shaffiq Erwin (sepupu), Bella Astillah & Wani Kayrie (sepupu), Sabhi Saddi & FareedPF K-Clique (adik-beradik), Sissy Imann & Naim Daniel (sepupu), Siti Sairah & Siti Saida (adik-beradik) dan Yamani Abdillah & Zaki Yamani (adik-beradik).

Finalis Famili Duo untuk musim baharu ini berpeluang merebut hadiah utama RM100,000 di pentas akhir. Pemarkahan ditentukan juri tetap sebanyak 80 peratus dan undian atas talian oleh penonton, 20 peratus.

Melihat barisan peserta yang mengambil bahagian, Ayda tidak dapat mengenal pasti siapa selebriti yang bakal menjadi pencabar terdekatnya, selain sudah bersedia menerima kritikan daripada juri tetap iaitu Mas Idayu dan Ajai.

"Saya belum dapat kongsikan buat masa ini sebab belum berkesempatan melihat persembahan mereka. Jadi, tak tahu apa kehebatan setiap peserta ini. Tapi, tidak dinafikan saya ada membuat kajian terhadap setiap peserta dan masing-masing ada kekuatan tersendiri.

"Bercerita mengenai kritikan, saya sentiasa terbuka dan tak kisah ditegur. Bagi saya, kalau kritikan itu membina, saya tiada masalah. Lagipun kita nak berada lama dalam industri seni ini, jadi kena kebal dalam menghadapi teguran supaya menjadi individu lebih baik pada masa mendatang," katanya.

Kembali aktif berlakon

Bercerita lanjut mengenai karier lakonan, Ayda mengaku sudah lama tidak terbabit dalam penggambaran drama dan bercadang kembali aktif pada awal tahun depan.

"Saya merancang nak berlakon tahun depan. Kalau boleh sebelum kedatangan Ramadan. Jika ada tawaran menarik saya akan terima.

"Setakat ini jadual saya sudah penuh. Tapi, kalau ada watak bersesuaian dengan jiwa dan karakter, saya sentiasa nak kembali berlakon," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Disember 2022 @ 6:00 AM