GANDINGAN Ayda (kanan) dan Fyna menyampaikan lagu I Don't Want To Miss A Thing.
GANDINGAN Ayda (kanan) dan Fyna menyampaikan lagu I Don't Want To Miss A Thing.
Ridzuan Abdul Rahman


DUA minggu berada di tangga kedua berturut-turut memberi keyakinan buat pasangan adik-beradik Ayda Jebat dan Fyna Jebat menyimpan impian memenangi pentas Famili Duo.

Pasangan Ayda dan Fyna Jebat membuka persembahan berpakaian serba putih dan memberi kejutan istimewa buat peminat dengan kemunculan pelakon veteran, Datuk Jalaluddin Hassan yang membawakan watak sebagai ayah mereka dalam gimik persembahan.

Apabila ditemubual selepas persembahan lagu 'I Don't Want To Miss A Thing' oleh kumpulan asal Aerosmith, Ayda Jebat mengakui mereka adik-beradik memang nekad untuk membawa pulang hadiah juara mingguan, namun belum rezeki mereka lagi.

"Memang tak dinafikan kadang kala saya dan Fyna selalu fikir nak menang untuk minggu ini. Walaupun sudah berikan persembahan dan konsep sebaik mungkin setiap minggu, mungkin belum tiba rezeki kami untuk dinobat juara mingguan.

"Itu yang memberi kami dorongan untuk berfikir dengan lebih kreatif. Secara jujurnya, apabila mendapat kedudukan kedua ini selepas kami berdua cuba sedaya upaya, cabaran itu juga menjadi dorongan atau motivasi kepada saya dan Fyna.

"Kami sentiasa memikirkan apa yang perlu ditambah baik untuk minggu seterusnya dan memastikan persembahan akan datang akan dilaksanakan dengan lebih teliti dan kualiti persembahan yang terbaik kepada peminat.

"Kami akan terus berfikiran positif dengan komen-komen yang diberikan juri dan akan mengejar gelaran juara keseluruhan untuk Famili Duo musim ini," kata Ayda Jebat.

GANDINGAN adik-beradik Siti Saida dan Siti Sairah menyampaikan lagu Kejoraku Bersatu.
GANDINGAN adik-beradik Siti Saida dan Siti Sairah menyampaikan lagu Kejoraku Bersatu.

Juri profesional, Mas Idayu juga memberikan komen yang memberangsangkan apabila mengatakan pasangan The Jebats ini adalah pasangan yang saling melengkapi antara satu sama lain.

Tambahnya, pasangan adik-beradik itu bijak, rajin dan kreatif dalam menyusun persembahan yang setanding pentas Anugerah Juara Lagu ini, di mana lagi kekurangan mereka?

Musim baharu Famili Duo yang disiarkan di TV3 setiap Ahad jam 9 malam menyaksikan idea-idea kreatif dan di luar kotak oleh tujuh pasangan duo yang berentap setiap minggu.

Minggu kedua Famili Duo ini telah menyaksikan kemenangan buat pasangan sepupu Ara Johari dan Shaffiq Erwin dengan tema band dan lagu Sedang Ingin Bercinta nyanyian asal kumpulan Dewa 19 yang menyuntik inspirasi gaya tentera.

Kedua-dua juri iaitu Mas Idayu dan Ajai berpuas hati dengan susunan muzik dan persembahan secara keseluruhan mereka.

PERSEMBAHAN menghiburkan dari peserta Famili Duo, Sissy Iman (tengah) dan Naim Daniel.
PERSEMBAHAN menghiburkan dari peserta Famili Duo, Sissy Iman (tengah) dan Naim Daniel.

Ara dan Shaffiq memperoleh 69 peratus untuk menerajui kedudukan markah tertinggi untuk minggu kedua manakala mengikuti rapat pasangan Ayda dan Fyna dengan 68.4 peratus.

Sementara tempat ketiga pasangan, Zaki Yamani dan Yamani Abdillah yang menyampaikan lagu Drama memperoleh 66.5 peratus, Sabhi Saddi dan Fareedpf K-Clique dengan lagu Marabahaya (64.8), Naim Daniel dan Sissy Imann mempersembahkan lagu Hang Pi Mana (52.7), Bella Astillah dan Wani Kayrie menyampaikan lagu Aku, Dia & Kamu (38.4), Siti Saida dan Siti Sairah dengan lagu Kejoraku Bersatu (38.2).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Disember 2022 @ 6:20 AM