Tegar Septian popular dengan lagu Aku Yang Dulu Bukan Yang Sekarang
Tegar Septian popular dengan lagu Aku Yang Dulu Bukan Yang Sekarang
Agensi

Jakarta: Walaupun terpalit pelbagai cerita sensasi selepas bercerai, Tegar Septian, 21, tetap meneruskan aktiviti dalam karier nyanyiannya dengan melancarkan single baharu, Bojo Ku Lemo.

Tegar dalam perkongsian di media sosial termasuk, Instagram didapati rancak membuat promosi lagunya yang muzik video sudah dimuatnaik di YouTube sejak beberapa hari lalu.

'Mari tonton di YouTube ya," tulisnya ringkas berserta suntingan video muzik lagu itu yang berdurasi 28 saat di Instagram.

Pada tahun lalu, Tegar yang pernah popular dengan lagu Aku Yang Dulu Bukan Yang Sekarang ketika berusia 11 tahun, mendapat perhatian ramai selepas berdepan kemelut kewangan dan kisah perceraian rumah tangganya.

Dia yang menyertai program Big Stage 2022 lalu, turut mendedahkan berhadapan masalah kewangan berterusan itu akibat tidak mendapat wang royalti daripada hasil nyanyiannya dan sering ditipu.

Sebelum ini, Tegar membuat keputusan bernikah dengan wanita dikenali Sarah Sheilka pada Mac 2020 ketika dia berusia 19 tahun kerana mahu mengelak zina.

Namun, akibat masalah kewangan, Tegar bercerai dengan Sarah pada Jun tahun lalu. Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Abidzar Oktaviano Putra Septian, 2.

Kini, Tegar dikatakan sudah bertemu kekasih baharu, namun dia juga tidak terlepas daripada kritikan netizen apabila didakwa mengabaikan tanggungjawab memberi nafkah kepada anaknya yang kini bersama bekas isteri.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 January 2023 @ 11:56 AM