Tegar bersama isteri dan anaknya
Tegar bersama isteri dan anaknya

Kuala Lumpur: Penyanyi Tegar Septian, 21, mengumumkan sudah bercerai dengan isterinya Sarah Sheilka selepas tiga tahun berkahwin.

Menurut Tegar, dia sudah penat dan tertekan meskipun ramai mungkin melihat kebahagiaan yang dikecapinya dalam perkahwinan itu sebenarnya bergelora.

"Sudahlah teman-teman, aku sudah tidak lagi bersama dengan Sarah. Aku sudah terlalu penat dan aku janji tak mahu berulang lagi perkara seperti ini.

"Maaf juga sebab aku bukan manusia yang sempurna. Kalau kalian mahu tahu, aku benar-benar runsing dan tertekan memikirkan urusan itu dan ini.

"Ya, aku di Instagram seperti seorang yang romantis. Tapi sebaliknya kalian tak tahu aku sebenarnya runsing. Sekali lagi, mulai dari detik ini, aku sudah tidak lagi bersama Sarah," katanya.

Tegar berazam membina semula kehidupannya dari bawah dan tidak menafikan faktor kewangan antara punca dirinya ditimpa kemurungan.

"Aku banyak berada di rumah. Jujur, aku orang yang tak boleh duduk diam saja di rumah. Namun aku sampai kurus kerana banyak berfikir. Nak cari duit pun susah dan di situlah aku depresi," katanya.

Menerusi sebuah Instagram Story (IGS) dikongsinya, Tegar jelas memendam seribu satu masalah berkenaan kehidupan peribadinya.

"Sebenarnya terlalu banyak masalah dan panjang sangat untuk diceritakan," katanya.

Bintang Big Stage 5 itu mendirikan rumah tangga dengan dengan Sarah pada Mac 2020 pada usia 19 tahun.

Hasil perkahwinan itu, pasangan terbabit dikurniakan seorang anak lelaki diberi nama, Abidzar Oktaviano Putra Septian, berusia dua tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Jun 2022 @ 5:36 PM