TEGAR Septian.
TEGAR Septian.
Agensi

Jakarta: Penyanyi remaja Indonesia, Tegar Septian, 21, terus dibelenggu masalah kewangan apabila dihalau pula dari rumah yang dihuni bersama ibu bapanya akibat gagal membayar sewa.

Menerusi laporan media tempatan, penyanyi yang popular dengan lagu Aku Yang Dulu Bukan Yang Sekarang itu juga dikatakan berkongsi beberapa perbualan dalam aplikasi WhatApps yang memberitahu ibunya sudah beberapa hari tidak makan.

"Apa yang harus aku lakukan, aku harus bayar sewa rumah. Kasihan sama orang tua aku, kalau tidak bayar mereka mahu tidur di mana?" tulisnya dalam perkongsian di Instagram Story, baru-baru ini

Tegar yang pernah menyertai program Big Stage 2022 di sini lalu, turut mendedahkan dia berhadapan masalah kewangan berterusan akibat tidak mendapat wang royalti daripada hasil nyanyiannya dan sering ditipu.

"Maaf, aku jadi begini kerana selalu kena tipu. Semoga kalian faham apa yang terjadi. Royalti pun belum dapat sepenuhnya," katanya yang kini berstatus duda.

Terdahulu, akibat masalah kewangan, Tegar bercerai dengan bekas isterinya, Sarah Sheilka pada Jun lalu.

Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Abidzar Oktaviano Putra Septian, 2.

Sebelum ini, Tegar yang bernikah dengan Sarah pada Mac 2020 memaklumkan dia memilih berkahwin pada usia muda iaitu 19 tahun kerana mahu mengelak zina.

Bagaimanapun, meninjau perkongsian Tegar di Instagram Story, dia memuat naik video bersama seorang wanita yang dipanggil 'sayang' sedang berbelanja di sebuah kedai serbaneka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 November 2022 @ 11:34 AM