Tegar bersama isteri, Sarah Sheilka dan anak mereka, Abidzar Oktaviano Putra Septian. Foto Instagram
Tegar bersama isteri, Sarah Sheilka dan anak mereka, Abidzar Oktaviano Putra Septian. Foto Instagram
Oleh Zaara Talita


Kuala Lumpur : "Kerana mahu menghilangkan (elak) zina".

Demikian penjelasan penyanyi kelahiran Indonesia, Tegar Septian, 21, secara ringkas mengenai keputusan yang diambilnya untuk mendirikan rumahtangga pada usia muda.

Penyanyi yang cukup popular dengan lagu Aku Yang Dulu Bukan Yang Sekarang itu mendirikan rumah tangga dengan wanita pilihannya, Sarah Sheilka pada Mac 2020 lalu ketika berumur 19 tahun.

Hasil perkahwinan itu, pasangan muda ini dikurniakan seorang anak lelaki diberi nama, Abidzar Oktaviano Putra Septian kini berusia dua tahun.

 "Alhamdulillah, sejak mendirikan rumah tangga, saya kerap berada di rumah bersama isteri dan anak. Saya lebih dewasa kerana sentiasa fikirkan tentang keluarga kecil saya.

  "Tambah pula, saya juga sudah jarang melepak di luar dengan kawan-kawan. Jadi, duduk di rumah dan memberi fokus pada perkongsian kandungan di YouTube saja," katanya.

Meskipun baru menjengah usia awal 20-an, Tegar jelas kelihatan semakin matang dalam berbicara dan tutur kata amat dijaga sejak bergelar bapa.

Berbicara juga pembabitannya di Big Stage 2022, Tegar menjelaskan yang dia mahu menjadikan pentas pertandingan itu sebagai platform untuk dirinya kembali berkarya.

  "Alhamdulillah, isteri dan keluarga yang berada di Indonesia faham tentang hasrat saya untuk kembali menyanyi. Penyertaan saya ini juga demi kesenangan dan masa depan kami bersama.

"Insya-Allah, kalau diberi peluang mereka akan datang untuk melawat saya di sini," katanya.

Tambahnya lagi, dia turut berharap agar penyertaannya menerusi Big Stage 2022 mampu kekal bertahan sampai ke peringkat akhir.

Selain Tegar, Big Stage 2022 disertai barisan peserta seperti Ajoi Zainal, Tuah Adzmi, Aisha Retno, Yazmin Aziz, Daniel Chuer, Iqbal Zulkefli, Elica Paujin, Lia Aziz, Megat Rahim, Sofiaa Marieylla dan Syafiq Abdilah (Brunei).

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Februari 2022 @ 12:36 PM