EMPAT pasangan duo dengan kemenangan masing-masing pada pentas akhir program Famili Duo musim kedua.
EMPAT pasangan duo dengan kemenangan masing-masing pada pentas akhir program Famili Duo musim kedua.
Syafil Syazwan Jefri


JIKA Datuk Jamal Abdillah pernah menggalas gelaran juara di pentas Bintang RTM pada 1979, kini sejarah sekali lagi tercipta apabila dua puteranya, Yamani Abdillah dan Zaki Yamani kini menggalas gelaran sama selepas dinobatkan sebagai juara program Famili Duo musim kedua.

Berkat usaha kedua-dua mereka dan diiringi doa orang tua, pasangan duo adik-beradik itu berjaya membuktikan kemampuan mereka dan mengalahkan tiga pasangan duo lain di pentas akhir yang berlangsung kelmarin.

Berkongsi perasaan usai kemenangan, Yamani berkongsi rasa sebak yang muncul ketika melihat kehadiran bapa mereka.

"Saya dan Zaki dah keluarkan segala zahir dan batin kami. Rezeki buat kami juga apabila babah dan ibu kami hadir memberikan sokongan. Itu membuatkan saya rasa sangat sebak. Itu juga buatkan kami lebih bersemangat memberikan yang terbaik dalam persembahan.

"Sejujurnya saya rasa sangat gementar. Kebetulan sebelum membuat persembahan, saya dengar suara babah dan itu membuatkan rasa nak menangis. Tapi, mujur sebab rasa nak menangis itu buatkan saya lupa sekejap kepada rasa gemuruh," katanya.

Berkongsi mengenai kehadiran bapanya, Yamani berkata, bapanya meletakkan syarat kepada mereka.

"Ada satu hari, babah cakap kepada saya, 'Kau kena menang, baru babah datang'. Memang rasa macam bermain teka-teki, tapi saya berharap supaya dia datang," katanya.

Ditanya mengenai pesan bapanya, Yamani berkata, bapanya pernah mengingatkannya supaya mencari identiti sendiri dalam nyanyian.

"Babah pernah berpesan kepada saya supaya tidak terikut-ikut cara nyanyiannya. Betul, kita boleh cipta sendiri identiti nyanyian kita sebagai penyanyi," katanya.

YAMANI dan adiknya, Zaki dinobatkan sebagai juara program Famili Duo musim kedua.
YAMANI dan adiknya, Zaki dinobatkan sebagai juara program Famili Duo musim kedua.

Bagi Zaki, konsep duo ini akan diteruskan mereka dan tentunya adik-beradik ini akan tampil dengan pelbagai karya.

"Kalau ada rezeki, kami akan teruskan dengan konsep duo ini dan keluarkan single sebanyak yang mungkin. Kekalkan jenama The Yamanis ini dan jaga dengan baik," katanya.

Tambahnya, Famili Duo juga menjadi platform untuk dia dan abangnya mencipta semula keserasian antara mereka dalam berkarya.

"Menerusi program Famili Duo ini, saya juga ingat semula bagaimana keserasian antara saya dengan abang saya. Kami dapat bergabung dan meningkatkan mutu serta kualiti persembahan kami," katanya.

Juri tetap, Ajai berkata, program Famili Duo ini berjaya menaiktarafkan bakat seseorang artis, sekali gus mencungkil bakat mereka dalam bidang nyanyian.

"Program ini menaikkan taraf artis itu sendiri sebenarnya. Mereka membuktikan bahawa mereka berbakat besar dalam nyanyian.

"Persembahan The Abdillahs (Yamani dan Zaki) ini sangat semula jadi. Kalau dari sudut vokal, boleh dikatakan semua peserta memiliki gred vokal yang tak banyak beza, tapi keutamaan adalah konsep persembahan.

"Selepas melihat beberapa persembahan mereka, dapat disimpulkan bahawa mereka perlu menyentuh jiwa pendengar dengan lagu yang lebih 'muda'. Jangan pergi kepada lagu yang terlalu berat seperti bapa mereka untuk mengelakkan mereka terikut-ikut.

"Seiring perubahan masa, kita dapat lihat kedua-dua mereka kini berjaya mengikis identiti bapa mereka dan tampil dengan identiti sendiri," katanya.

Bagi juri, Mas Idayu, kedua-dua adik-beradik ini adalah lambang kepada Famili Duo itu sendiri.

"The Abdillahs adalah lambang kepada Famili Duo, di mana mereka menampilkan dan menjelaskan konsep program itu sendiri. Mereka buat persembahan dengan seikhlas hati.

"Di peringkat awal program ini berlangsung, vokal 'Datuk Jamal Abdillah' itu sangat kental dalam diri kedua-dua anaknya. Tapi, semakin lama kita dapat lihat perubahan dalam diri mereka dan mereka mula keluarkan nada suara sendiri," katanya.

Di pentas akhir, Yamani dan Zaki mempersembahkan lagu medley Potret dan Pelukan Angkasa untuk segmen Lagu Dari Anugerah Juara Lagu, manakala untuk segmen lagu bebas, mereka mempersembahkan lagu medley Hutang, Bunga dan Kau Pun Sama.

Menerusi kemenangan itu, mereka membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai bernilai RM100,000.

Pemenang tempat kedua pasangan adik-beradik, Ayda dan Fyna Jebat membawa pulang RM20,000, manakala tempat ketiga dimenangi pasangan sepupu, Wani Kayrie dan Bella Astillah menerima RM15,000.

Pasangan duo Naim Daniel dan Sissy Imann pula masing-masing terpaksa berpuas hati di tempat keempat dan menerima RM10,000.

Program Famili Duo diacarakan oleh gandingan pengacara, Janna Nick dan Sean Lee.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Februari 2023 @ 6:30 AM