JANNA dan Sean diberi tanggungjawab mengacarakan program Famili Duo.
JANNA dan Sean diberi tanggungjawab mengacarakan program Famili Duo.
Ramlah Zainal


PENAMPILAN pengacara dalam sesebuah program hiburan pasti menarik perhatian ramai terutama bagi menceriakan suasana dan kelancaran acara.

Begitu juga penampilan gandingan hos terkenal seperti Janna Nick dan Sean Lee yang diberi tanggungjawab mengacarakan program Famili Duo TV3 setiap Ahad jam 9 malam.

Sekalipun kerap tampil dalam beberapa program hiburan, Janna dan Sean yang berkawan rapat mengakui turut gementar apabila diberi tanggungjawab mengacarakan program realiti hiburan itu.

Begitu pun, Janna berkata, sebelum melakukan tugasannya dia membuat rujukan terlebih dulu dengan penerbit program kerana tidak mahu gaya pengacaraan lari daripada konsep pertandingan itu.

"Saya akan rujuk kepada penerbit kerana tidak mahu lari daripada konsep program ini.

"Saya juga sedia menerima kritikan daripada mana-mana pihak kerana ia secara langsung dapat membantu pengacaraan saya semakin baik," katanya.

BELLA Astillah dan Wani Kayrie.
BELLA Astillah dan Wani Kayrie.

Janna juga seronok diberi peluang berbual mesra dengan keluarga peserta di sebalik tabir ketika raptai.

Selain dapat merapatkan hubungan, ia juga memberi idea untuk 'mengusik' peserta di pentas.

Manakala Sean berkata, biarpun memiliki pengalaman sebagai pengacara, dia belum dapat mengikis perasaan gementar setiap kali mengendalikan program baharu.

"Saya tiada masalah untuk mengacara cuma perlu mengatasi perasaan takut dan gementar atas pentas.

"Ini adalah program hiburan, jadi saya cuba menjadi lebih santai dan misi kami mahu membuatkan penonton terhibur," kata Sean yang pernah mengendalikan program I Can See Your Voice Malaysia (ICSYVMY).

GANDINGAN sepupu, Sissy Imann dan Naim Daniel.
GANDINGAN sepupu, Sissy Imann dan Naim Daniel.

Ditanya mengenai keserasian pula, Janna yang sebelum ini pernah mengendalikan program Melodi mengakui tugas itu bukan sukar.

Menurutnya, mereka tidak mengambil masa lama mencipta keserasian, malah dia selesa dan senang bekerja dengan Sean kerana mereka pernah berganding sebelum ini.

Bagi Sean, disebabkan mereka sudah berkawan lama, dia menggunakan kelebihan itu untuk mencipta kemesraan di pentas.

"Pada mulanya, saya bercadang berpura-pura bercinta dengan Janna kerana kami sudah berkawan lama.

"Saya juga cuba menggunakan keakraban kami sebagai sahabat di pentas untuk berinteraksi dengan peserta.

"Bagi mendapatkan keserasian antara pengacara dan peserta, kami dekatkan diri dengan ahli keluarga peserta, berbual dan mendapat sedikit sebanyak informasi berkaitan peserta supaya tidak kekok apabila berada di pentas bersama mereka," katanya.

PASANGAN adik-beradik, Sabhi Saddi dan FareedPF K-Clique.
PASANGAN adik-beradik, Sabhi Saddi dan FareedPF K-Clique.

Namun, dalam seronok mengendalikan program itu, mereka tidak terlepas daripada cabaran.

"Setiap program yang dikendalikan pastinya ada cabaran, tetapi kami sebagai pengacara perlu peka dengan situasi sekeliling.

"Ini kerana program ini disiarkan secara langsung dan bukan rakaman," kata Janna.

Saingan program Famili Duo menyaksikan tujuh pasangan selebriti popular yang mempunyai hubungan kekeluargaan berentap atau 'battle' pada setiap minggu.

Program ini membawa tema berbeza untuk merebut hadiah mingguan iaitu RM10,000. Lebih menarik, hadiah utama yang bakal dimenangi oleh juara adalah wang tunai RM100,000.

Pemarkahan ditentukan juri tetap sebanyak 80 peratus dan undian dalam talian sebanyak 20 peratus.

Tujuh pasangan bersaing adalah Ara Johari dan Shaffiq Erwin yang juga sepupu; Ayda Jebat dan Fyna Jebat (adik-beradik); Bella Astillah dan Wani Kayrie (sepupu) serta Sabhi Saddi dan FareedPF K-Clique (adik-beradik).

Turut bersaing, Sissy Imann dan Naim Daniel (sepupu); Siti Sairah dan Siti Saida (adik-beradik) serta Yamani Abdillah dan Zaki Yamani (adik-beradik).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 January 2023 @ 6:30 AM