(Dari kiri), Zain, Cat Farish, Sein bersama Syafiq, Rafie,  Azan dan Mode. FOTO NURUL SHAFINA JEMENON
(Dari kiri), Zain, Cat Farish, Sein bersama Syafiq, Rafie, Azan dan Mode. FOTO NURUL SHAFINA JEMENON
Syafil Syazwan Jefri


SELEPAS 10 tahun, nama Ruffedge nampaknya masih lagi berbisa.

Hakikat itu terbukti apabila tiket konsert Ruffedge: 20th Anniversary yang dibuka untuk jualan seawal jam 10 pagi tadi, terjual lebih 50 peratus dalam masa tiga minit.

Penganjurnya, Mohammad Rafie Saruddin mewakili MRS Production & KLP Sdn Bhd berkata, sekiranya kesemua 2,000 tiket habis terjual sebelum jam 12 tengah malam ini, penganjur akan bekerjasama dengan pihak Malaysia Book of Records.

“Dalam masa tiga minit pertama, tiket zon Party dan VIP yang masing-masing disertakan dengan sesi ramah mesra habis terjual. Sejam kemudian, tiket zon Party tanpa sesi ramah mesra pula habis dan diikuti zon VIP yang juga tanpa sesi ramah mesra.

“Kini, yang tinggal hanyalah tiket untuk zon Regular dan sekiranya habis terjual sebelum jam 12 tengah malam ini, kami akan mendaftar untuk dimasukkan ke dalam buku Malaysia Book of Records,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Rafie, pihaknya sendiri terkejut dengan sambutan tidak dijangka itu.

“Selalunya, kalau situasi ini berlaku kepada artis luar negara, kita tak hairan. Tapi, untuk artis tempatan, ini adalah rekod baru,” katanya.

Tambah Rafie, ramai peminat Ruffedge yang menghubungi pihaknya dan ingin mendapatkan tiket.

“Ada yang menghubungi dan meninggalkan komen di Instagram Ruffedge. Ada juga mereka daripada badan korporat ingin membeli tiket, namun tidak berkesempatan.

“Sekiranya kesemua 2,000 tiket habis dijual, kami akan membuat 500 tiket tambahan yang memang kami siapkan sekiranya situasi sebegini berlaku.

“Apapun, kalau boleh kita tak mahu konsert itu terlalu padat sehingga mengganggu keselesaan penonton sepanjang ia berlangsung,” katanya.

Konsert berdurasi dua jam itu akan berlangsung pada 4 Ogos depan bermula jam 9 malam.

Tentunya, kumpulan dianggotai Cat Farish, Sein, Zain, Azan dan Mode itu akan mempersembahkan lagu-lagu popular mereka antaranya Bila Rindu dan Tipah Tertipu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mei 2018 @ 3:56 PM