HAEL Hussaini.
HAEL Hussaini.
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Acara Konsert Hael Husaini Live in KL yang sepatutnya berlangsung pada 4 Disember depan, kini diumumkan ditunda ke tarikh 19 Februari 2023 di Zepp Kuala Lumpur.

Ketua Rocketfuel Entertainment, Feros Sayna,  berkata, pihaknya memohon maaf di atas penundaan itu, sekali gus menjanjikan konsert yang penuh bertenaga di tarikh baharu nanti.

"Kepada setiap pembeli tiket konsert yang sudah membuat pembelian, jangan risau kerana tiket itu kekal sah pada tarikh yang dijadualkan semula.

"Sebagai tambahan, Rocketfuel menjanjikan konsert yang penuh bertenaga, berkonsepkan 'boogie shoes' dimana penonton digalakkan 'sing-along' serta 'dance-along' sepanjang durasi konsert," katanya.

Feros juga memohon agar peminat penyanyi lagu Jampi itu tidak terlalu kecewa dengan berita penundaan ini.

"Pihak Rocketfuel Entertainment sangat menitikberatkan perasaan peminat Hael supaya tidak berasa kecewa kerana mahu berikan yang terbaik untuk malam konsert dinanti-nantikan itu.

"Terima kasih saya ucapkan buat semua pihak kerana bersabar dengan penundaan ini, dan sekali lagi kami memohon maaf di atas sebarang kesulitan yang mungkin timbul," katanya.

Terdahulu, Hael berkongsi mengenai impiannya untuk mengadakan konsert selepas 15 tahun beraksi di dalam industri seni tanah air.

"Selama 15 tahun saya berkecimpung dalam industri muzik tanah air, ini adalah impian saya sedari dulu lagi.

"Banyak yang ingin saya tonjolkan pada malam konsert itu yang mana, berkonsepkan festival.

"Saya menganggap konsert ini sebagai pementasan perjalanan karier seni secara muzikal, bagaimana saya bermula, apakah perbezaan muzik dan karya saya dari dulu sehingga kini bukan saja sebagai penyanyi, malah pencipta lagu juga.

"Semuanya akan saya sampaikan melalui persembahan pada malam konsert nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 November 2022 @ 12:36 PM