BINTANG siri Squid Game, Jung Ho Yeon dipilih majalah TIME dalam senarai 100 bintang dunia paling bersinar
BINTANG siri Squid Game, Jung Ho Yeon dipilih majalah TIME dalam senarai 100 bintang dunia paling bersinar
Georgie Joseph

Annyeonghaseyo! Memasuki senarai TIME 100 Next sememangnya bukan mudah kerana senarai anjuran majalah TIME itu benar-benar mengiktiraf figura paling berpengaruh dan meraih pencapaian luar biasa.

Tahun ini, Jung Ho Yeon menjadi satu-satunya pelakon dari Korea Selatan berjaya menembusi senarai itu. Senarai itu mengiktiraf figura berpengaruh daripada pelbagai industri termasuk hiburan.

Ho Yeon diletakkan di bawah kategori 'Phenoms' apabila dia berjaya mencipta fenomena di seluruh dunia. Figura lain yang tersenarai terdiri daripada bintang sukan, tokoh politik dan lain-lain.

Ho Yeon yang dipanggil 'pahlawan' oleh pengarah Squid Game, Hwang Dong Hyuk sememangnya cukup bersinar kebelakangan ini. Malah, Dong Hyuk sendiri tidak pernah sangka dia mampu mencipta fenomena.

"Kali pertama saya tengok Ho Yeon adalah dalam sebuah video. Ketika itu saya dalam misi pencarian pelakon terbaik untuk watak Sae Byeok dalam Squid Game. Jujur, saya tak letakkan harapan tinggi.

"Ia kerana dia pun tiada pengalaman berlakon sebelum itu. Tapi, dalam tempoh 10 saat saja, saya terus terpesona dengan apa yang saya nampak di skrin. Saya tahu dialah paling tepat menjadi Sae Byeok," katanya.

Dong Hyuk berkata, dia semakin kagum dengan kebolehan Ho Yeon apabila semakin lama mengenalinya.

"Saya seperti menyaksikan seorang kelahiran baharu dalam bumi yang menguasai apa saja hal ditugaskan padanya. Walaupun terjatuh, dia kembali melawan dan jadi semakin baik," katanya.

Dia juga menyifatkan Ho Yeon pejuang luar biasa yang menangani populariti, harapan ramai dan kejayaannya dicemburui. Ho Yeon berjuang untuk kemahuannya.

"Saya kerap berseloroh memanggil dia pahlawan. Tidak dinafikan dia memang memiliki kemahiran dan semangat juang untuk menjalani setiap perjuangannya. Saya harap dia akan terus berjaya dalam bidang lakonan," katanya.

Selain Ho Yeon, antara tersenarai dalam Phenoms ialah Sydney Sweeney, Ja Morant, Simone Ashley dan Finneas.

Nama berpengaruh lain termasuk SZA, Lily Collins, Sadie Sink, Jack Harlow dan Spencer Cox.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Oktober 2022 @ 6:55 AM