Barisan pelakon baharu siri Squid Game
Barisan pelakon baharu siri Squid Game

Kuala Lumpur: Penyanyi T.O.P, 35, antara barisan pelakon baharu bakal menjayakan siri fenomena Squid Game musim kedua diumumkan hari ini.

Dia juga bekas anggota BIGBANG pernah membintangi pelbagai drama dan filem termasuk Tazza: The Hidden Card dan Commitment.

T.O.P atau nama sebenarnya Choi Seung-Hyun turut disertai Park Gyu-youn, Jo Yu-ri, Kang Ae-sim, Lee David, Lee Jin-uk, Roh Jae-won, dan Won Ji-an.

Barisan pelakon terdahulu dan terbaru siri terbabit berkumpul pada minggu ini bagi menjalani sesi membaca skrip mereka yang pertama.

Kembali diarahkan Hwang Dong-hyuk yang turut memenangi anugerah Emmy untuk siri Squid Game pertama, penggambaran musim baharu dijadualkan bakal dimulakan tahun ini.

Tidak ketinggalan, barisan pelakon hebat musim pertamanya termasuk Lee Jung-Jae, Lee Byung-Hun, Kang Ha-Neul, Wi Ha-Jun, dan Gong Yoo juga masih akan membintanginya.

Squid Game mula diperkenal pada 2021 meninggalkan fenomena tersendiri dalam industri hiburan global disebabkan konsepnya cukup unik serta jalan cerita di luar kotak.

Disebabkan sambutan luar biasa terhadapnya, siri terbitan Netflix itu turut meraih pelbagai anugerah berprestij di acara besar Hollywood.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Jun 2023 @ 1:09 PM